UMW Toyota (UMWT) hari ini mengadakan sesi penyampaian hadiah untuk pemenang-pemenang Toyota Gazoo Racing Musim ketiga.
Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel muncul juara dalam Super Sporting Class (kejuaraan kedua untuknya) manakala pemandu muda berusia 16 tahun, Hayden Haikal muncul juara untuk Sporting Class. Djan dan Hayden masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 setiap seorang.
Mark Darwin dan Freddie Ang pula masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam Super Sporting Class, memenangi wang tunai RM50,000 dan RM30,000 setiap seorang.
Sementara itu dalam Sporting Class, seorang lagi pemandu muda berusia 18 tahun, Bradley Benedict Anthony mendapat tempat kedua (hadiah RM50,000), di depan pemandu tempat ketiga, Haji Sutan Mustaffa (hadiah RM30,000).
Untuk Promotional Class iaitu kategori pelumba selebriti, Shawn Lee meneruskan dominasi dengan menjadi juara kelas untuk kali kedua. Sepanjang musim ini sahaja, dia memenangi tiga perlumbaan.
Tempat kedua diduduki oleh Shukri Yahaya manakala tempat ketiga oleh Nabil Ahmad.
Musim 3 Toyota Gazoo Racing bermula di Kuala Terengganu pada 5-7 September 2019 sebelum beralih ke Bandar Malaysia pada 9-10 November 2019 dan Batu Kawan, Pulau Pinang pada 14-16 Februari 2020. Jumlah keseleruhan hadiah dalam musim ini melebihi RM500,000.
Musim ini pada awalnya dirancang untuk mempunyai 8 perlumbaan dari 4 pusingan, dengan pusingan akhir di Litar Antarabangsa Sepang pada April. Tetapi seperti diketahui umum, ia terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dengan pembatalan itu, Motorsports Association of Malaysia (MAM) telah berunding dengan UMWT dan menentukan bahawa dengan menyempurnakan 75 peratus dari Musim 3, ia memenuhi kriteria untuk memilih pemenang keseluruhan.