Ducati secara rasmi membuat penghantaran pertama model Superleggera V4 edisi terhad kepada pengguna.
Individu yang berasal dari Belgium, Filip Van Schil merupakan individu pertama yang menjadi pemilik kepada motosikal berkuasa tinggi tersebut.
Proses penyerahan kunci dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ducati iaitu Claudio Domenicali. Van Schil menerima motosikal dengan nombor siri 001/500, yang bermaksud dia menjadi pemilik pertama Ducati Superleggera V4 Limited Edition, yang dihasilkan sebanyak 500 unit di seluruh dunia.
Sebagai peminat Ducati, Van Schil sudah memiliki sembilan buah motosikal Ducati yang lain. Oleh itu, pihak Ducati tidak teragak-agak untuk menjemputnya ke kilang mereka yang terletak di Borgo Panigale untuk untuk proses penyerahan kunci.
Dalam majlis tersebut, Van Schil diberi peluang untuk melihat dengan lebih jelas proses pembuatan motosikal yang dibelinya. Dia juga berpeluang berjumpa dan berinteraksi dengan para pekerja yang menghasilkan enjin motosikal khasnya.
Untuk makluman, dalam setiap pembelian pakej Ducati Superleggera V4 Limited Edition, pengguna akan mendapat sijil ketulenan. Motosikal tersebut akan diletakkan dalam kotak kayu dengan grafik khas.
Apa yang lebih istimewa, syarikat Itali akan memberi 30 pemilik motosikal berkuasa tinggi ini peluang untuk merasai pengalaman menunggang di litar pelumbaan menggunakan jentera MotoGP iaitu Ducati Desmosedici GP.
Ducati Superleggera V4 Limited Edition merupakan motosikal keluaran pertama di dunia dengan struktur ringan yang diperbuat daripada gentian karbon. Antara komponen yang terlibat dalam struktur ini ialah rangka badan, subframe, roda dan swingarm.
Motosikal edisi terhad ini berharga sekitar USD100,000 (kira-kira RM414,000). Dengan enjin 998cc V-four yang disertakan, motosikal ini mampu menghasilkan sehingga 231hp.
Sumber: oto.detik.com
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar