Proton Saga 35 tahun: 1.8 juta unit terjual, kekal kereta nasional paling popular

3607

Proton Saga akan menyambut ulang-tahun ke-35 pada 9 Julai ini, iaitu 35 tahun sejak pelancarannya. Ia juga detik bersejarah buat kita kerana pelancaran itu menjadikan Malaysia antara beberapa negara di dunia ini yang mempunyai syarikat kereta sendiri.

Pelancaran Proton Saga itu juga adalah kira-kira dua tahun selepas penubuhan Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON).



Sejarah antara jenama PROTON dan Proton Saga memang tidak dapat dipisahkan. Bermula hanya dari sehelai kertas kosong, PROTON adalah cetusan idea daripada Perdana Menteri keempat Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1979 untuk menjadi pembuat kereta nasional bagi membantu meningkatkan perindustrian negara.

Kelulusan kabinet berjaya diperolehi pada tahun 1982 dan pada 7 Mei 1983, syarikat automotif pertama Malaysia ditubuhkan.

Pengeluaran Proton Saga pertama dijalankan dengan kerjasama Mitsubishi selepas pengeluar kereta Jepun itu bersetuju mewujudkan usaha sama dengan HICOM untuk menghasilkan kereta pertama Malaysia.

Seperti disangka, Proton Saga terus mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan rakyat Malaysia. Kemudian pada 16 Mac 1989, Saga dieksport dan dilancarkan pula di United Kingdom. Ia turut laris di sana, dan sasaran jualan 12 bulan dapat dicapai dalam hanya 6 bulan.

Anda pasti masih ingat Proton Saga muncul dalam salah satu episod Mr. Bean, bukan?

Malah, terdapat juga seorang Youtuber di UK yang menggunakan Proton Saga.

Sejajar peredaran masa dan perkembangan Proton, Saga tetap kekal berada dalam rangkaian model yang ditawarkan.

Ia tetap menjadi pilihan utama mereka yang mahukan sebuah kereta yang boleh diharap, tetap bergaya serta mudah diselenggara.

Ogos 2019 menyaksikan Proton Saga diberikan kemaskini yang terbaharu, menampilkan pelbagai ciri moden masa kini dengan harga yang berpatutan. Kami juga telah memandu uji Saga 2019 dan anda boleh baca laporan kami di sini.

Sejak pelancaran model versi 2019, jumlah tempahan diterima hampir sama dengan keluaran terdahulu, yang dijual pada masa ketika pengguna mempunyai pilihan yang terhad.

Malahan, untuk bulan Mei 2020, Saga merupakan kereta paling laris di Malaysia dan pada bulan Jun, ia berjaya mencapai jumlah jualan bulanan tertinggi dalam tempoh 70 bulan.

Secara kumulatif, lebih dari 1.8 juta unit telah terjual dalam tempoh 35 tahun.

Jadi, apakah rancangan seterusnya? Jangan lupa untuk mengikuti laman rasmi Facebook Proton pada 9 Julai 2020, jam 10.35 pagi untuk ketahui lebih lanjut.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here