‘Kreatif’, itulah perkataan yang sesuai diungkapkan kepada Angga Maulana, seorang lelaki yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia. Ini kerana lelaki berusia 32 tahun ini sejak tahun 2010 telah menghasilkan replika motosikal menggunakan bahan buangan.
Angga yang tinggal di satu perkampungan di Jawa Barat, telah menghasilkan replika motosikal dengan panjang sekitar 10cm dan tinggi 5cm. Replika motosikal ini pada awalnya dihasilkan utnuk memenuhi keinginannya yang tidak mampu membeli sebuah motosikal sebenar.
Sejak dahulu lagi, Angga menginginkan sebuah motosikal klasik jenama BMW. Tetapi kerana berasal dari keluarga yang kurang mampu, dia hanya dapat menyimpan impiannya tersebut.
“Sejak dari dulu lagi saya memang suka akan motosikal klasik. Kerana tidak mempunyai wang yang cukup, saya hanya mampu reka replikanya. Tetapi setelah mula mengenali Facebook pada tahun 2013, saya mula memuat naik gambar replika yang dihasilkan.”
“Rupa-rupanya, banyak rakan yang menyukai dan menempahnya. Sekarang, ia merupakan sumber pendapatan saya,” kata Angga.
Semua replika motosikal yang dihasilkannya terdiri dari bahan buangan seperti plastik, getah, mancis hingga wayar. Bahan buangan tersebut kemudian akan dibentuk bermula dari badan, ruangan enjin hingga rupa bentuk keseluruhan sebuah motosikal.
Satu replika motosikal yang dihasilkan oleh Angga berharga sekitar Rp100,000 (RM30) hingga Rp500,000 (RM150). “Harga replika motosikal adalah sebagaimana rupa bentuk replika tersebut.”
“Saya juga tidak meletakkan harga tetap sesebuah replika jika dimuat naik di Facebook. Harga replika ini saya terima berdasarkan harga yang diberikan oleh pembeli. Ada juga replika motosikal ini ada yang mencecah hingga lebih Rp1 juta (RM300),” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar