Toyota Corolla Cross dilancar di Thailand, apabila Corolla menjadi SUV?

2388

Toyota Corolla Cross baru sahaja membuat kemunculan globalnya di Thailand pagi ini, dan akan dilancarkan di pasaran-pasaran lain tidak lama lagi.

SUV ini dibangunkan dengan konsep “Corolla meets SUV” atau “Corolla bertemu SUV”, dan ia dibina dari platform TNGA-C yang dikongsi dengan C-HR dan Corolla.



Tetapi walaupun menggunakan nama Corolla, ia langsung tidak menyerupai sedan itu. Sebaliknya, ia lebih kepada RAV4 versi lebih kecil dan rupa lebih lembut. Corolla Cross juga tidak mendapat suspensi double wishbone seperti Corolla dan C-HR, tetapi hanya torsion beam.

Untuk perbandingan dengan RAV4, rupa luaran Corolla Cross ini lebih lembut dan beralun. Lampu depannya lebih nipis, manakala lampu belakang adalah unit lampu LED kombinasi. Di bahagian tepi, agak ketara terdapatnya gelembung di atas fender depan dan belakang untuk gaya lebih rugged.

Di bahagian dalam, barulah terdapat persamaan dengan Corolla sedan. Corolla Cross ini dilengkapi rekaan papan pemuka yang sama, skrin sesentuh 9-inci untuk infotainmen, skrin TFT LCD 4.2-inci, dan penghawa dingin dwi-zon.

Di Thailand, Toyota Corolla Cross ini datang dengan empat varian iaitu 1.8 Sport, Hybrid Smart, Hybrid Premium dan Hybrid Premium Safety. Harga pula adalah dari 989,000 Baht (RM132,255) hingga 1.199 juta Baht (RM163,990).

Kami jangkakan sekiranya Corolla Cross datang ke Malaysia nanti, ia akan ditawarkan dengan enjin 1.8-liter, peluang untuk hibrid agak tipis.

Enjin 1.8-liter itu ialah unit 2ZR-FBE naturally-aspirated dengan 140PS dan 177Nm tork. Transmisi pula ialah Super CVT-i.

Untuk versi hibrid, enjin itu akan dipadankan dengan transmisi e-CVT yang berfungsi bersama motor elektrik berkuasa 72PS dan 163Nm tork.

Ciri keselamatan merangkumi Pre-Collision System, Lane Departure Alert dengan Steering Assist, Dynamic Radar Cruise Control dengan Lane Tracing Assist, Automatic High Beam, Blind Spot Monitor, paparan 360-darjah dan Rear Cross Traffic Alert.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here