Model Type R paling ekstrem yang pernah dihasilkan oleh Honda iaitu Civic Type R Limited Edition telah mencipta rekod baru iaitu sebagai kereta pacuan hadapan (FWD) terpantas dengan catatan masa 2 min 23.993 saat di litar Suzuka, Jepun.
Litar Suzuka adalah litar dengan jarak 5.8km dan terkenal dengan laluan berliku dan selekoh yang mencabar, selian mempunyai mempunyai laluan lurus sepanjang 1.2km.
Litar ini telah digunakan sebagai tempat ujian oleh Honda dalam proses menaik taraf kenderaan dan enjin mereka sejak tahun 1962. Ia dibina berdasarkan arahan pengasas dan presiden syarikat, Soichiro Honda yang popular dengan slogan “sesebuah kereta tidak mampu dinaik taraf jika tidak diuji kemampuannya di litar perlumbaan”.
Honda Civic Type R Limited Edition ini mempunyai berat yang lebih ringan dan dihasilkan hanya dalam 700 unit. Daripada jumlah tersebut, 100 unit akan tersedia untuk pasaran Eropah, manakala Amerika Syarikat menerima sebanyak 600 unit.
Model Limited Edition yang baru ini masih mengekalkan penggunaan enjin 2.0-litre VTEC Turbo Type R. Enjin ini mampu menghasilkan sehingga 315hp pada 6,500 rpm dan 400Nm tork pada 2,500 hingga 4,500 rpm.
Berdasarkan kuasa tersebut, kereta ini mampu memecut dari 0-100km/j hanya dalam masa 5.7 saat.
Selain dengan warna baru iaitu ‘Sunlight Yellow’, model ini juga disertakan dengan lencana krom gelap. Bumbung, cermin sisi, saluran udara pada bampar pula dicat warna hitam berkilat. Malah ia juga dilengkapi dengan kepingan nombor siri.
Untuk ruangan dalam, ia juga turut dilengkapi stereng dengan balutan Alcantara dan tombol gear yang baru.
Untuk makluman, sebelum ini Honda Civic Type R GT telah memecahkan rekod sebagai kereta pacuan roda-hadapan (FWD) terpantas di litar Nurburgring Nordschliefe dengan catatan masa 7 minit 43.8 saat.
Berikutan kejayaan ini, Civic Type R GT telah muncul sebagai antara kereta pacuan hadapan (FWD) yang berjaya memecahkan rekod di lima litar terkemuka yang terdapat di Eropah.