Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, turut memberi kesan buruk kepada Aston Martin. Ini kerana, syarikat pengeluar tersebut dilaporkan telah mengalami kerugian sebanyak USD146 juta (RM623 juta) pada suku pertama tahun 2020.
Setelah menerima suntikan dana sebanyak USD663 juta (RM2.8 bilion) dari sebahagian pemilik bersama pasukan Racing Point Formula 1 iaitu Lawrence Stroll, Aston Martin telah membuat keputusan untuk memberi fokus kepada pengeluaran SUV pertama mereka iaitu Aston Martin DBX. SUV tersebut kini berada dalam barisan pengeluaran di St Athan, Wales.
“Satu penghormatan untuk berada di sini dan menyaksikan selesainya proses pengeluaran pertama Aston Martin DBX.”
“Saya sangat bangga dengan pasukan Aston Martin yang telah bekerja keras untuk mengubah pejabat Kementerian Pertahan ini menjadi tempat penghasilan kenderaan bertaraf dunia, sehingga kini dapat menghasilkan kereta. Ini adalah bukti kerja keras dan ketabahan semua orang di Aston Martin,” kata Ketua Pegawai Operasi Sementara Aston Martin, Keith Stanton.
Dengan proses pengeluaran yang dihasilkan sekarang, pasaran SUV baru ini dijangka akan tiba di Eropah pada akhir bulan ini. Kemudian pada suku ketiga tahun ini, pasaran SUV ini dijangka akan tiba di Amerika Syarikat.
Dikuasakan oleh enjin V8, Aston Martin DBX ini akan mula dijual dengan harga USD192,986 (RM823,471) di Amerika Syarikat. Seterusnya, ia akan disertakan dengan beberapa versi termasuk model hybrid V6 dan varian tertinggi AMR dengan enjin V12.