Bagi mereka yang bekerja atau belajar di luar negara melebihi setahun pastinya akan memperoleh Approved Permit (AP) dari kerajaan.
AP biasa digunakan untuk membawa pulang kenderaan yang kita gunakan atau beli di sana, tetapi ramai yang masih kabur atau tidak begitu jelas mengenai prosedur diperlukan untuk mengeksport kenderaan itu pulang ke Malaysia.
Seorang pengguna Facebook dengan nama akaun Khairul Amzar Tansri berkongsi langkah-langkah yang terperinci yang perlu dilakukan, tapi Khairul menerangkannya untuk kenderaan dari Jepun.
Berikut adalah tulisannya yang kami ubah sedikit dengan mengekalkan fakta dan maklumat asal:
Setiap warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara untuk tempoh lebih dari satu tahun layak memohon “Approved Permit” ataupun AP daripada Kerajaan Malaysia. Dengan adanya AP ini, kita boleh membawa pulang kenderaan dari negara yang kita bermastautin.
Sebelum itu ingin saya ingatkan bahawa hanya kereta berusia 5 tahun ke bawah sahaja yang dibenarkan eksport ke Malaysia. Posting ini hanya fokus pada kenderaan dari Jepun sahaja ya.
1) Pilih Ejen Eksport Kereta (RoRo)
Pertama sekali kita harus mencari ejen pengeksport kereta yang biasa dengan sistem eksport Jepun bagi memudahkan segala urusan yang berkaitan.
Antara ejen yang terkenal di sini adalah AMT Trading (highly recommended), Sakura Forwarding atau ejen-ejen persendirian yang lain.
Melalui ejen ini, kita akan mengetahui prosedur eksport dengan lebih cepat dan tepat. Kebiasaannya cara “Roll-in Roll-out” (RoRo) lebih menjimatkan.
2) Hantar Kenderaan ke Gudang Pelabuhan
Setelah bersetuju untuk menggunakan perkhidmatan ejen tersebut, ejen akan menetapkan tarikh serahan kenderaan di gudang pelabuhan sebelum belayar ke Malaysia.
Di gudang ini, kita dikehendaki memeriksa dan mengambil gambar kenderaan untuk rujukan sekiranya berlaku apa-apa di kemudian hari.
Nombor plat juga perlu dicabut untuk proses permohonan Export Certificate, sebelum nombor plat itu dilupuskan.
Di sinilah kali terakhir kita dapat melihat kenderaan sebelum ia kembali ke pangkuan kira-kira 2 bulan kemudiannya.
3) Tukar Vehicle Inspection Certificate (Shaken) kepada Export Certificate
Untuk mengeksport kereta, Shaken perlu dibatalkan dan ditukar kepada Export Certificate. Export Certificate ini amat penting untuk proses memohon AP di Malaysia nanti.
Urusan ini perlu dibuat di Transportation Bureau (運輸支局) berdekatan dengan anda. Kalau di Nagoya, urusan boleh dilakukan di 中部運輸局愛知運輸支局.
Dokumen yang perlu dibawa untuk permohonan Export Certificate adalah:
-Shaken
-Inkan
-Inkanshomei
-Nombor plat kenderaan (yang telah dicabut di gudang pelabuhan)
Tatacara penukaran Shaken kepada Export Certificate saya lampirkan dalam gambar di bawah. Bayaran ¥350 dikenakan untuk “mati setem” dalam proses ini.
Setelah Export Certificate dikeluarkan, secara rasminya kenderaan anda layak dieksport keluar dari negara Jepun. Tunggu sahaja kenderaan itu sampai di Malaysia nanti.
TAMAT SUDAH…..
Ehhh BELUM lagi bagi orang yang ‘berkira’ macam kami!
Ada perkara yang perlu DITUNTUT. Jangan biarkan kerajaan ‘makan free’ duit anda. Haha. Kenderaan di Jepun dilengkapi dengan insurans “Jibaiseki” dan kupon “Recycle Ken”.
Dua perkara ni telah kita bayar semasa membeli kenderaan. Apabila Export Certificate dikeluarkan, kita layak menuntut semula wang yang telah kita bayar untuk dua perkara ini.
Insurans Jibaiseki adalah berbeza mengikut kenderaan. Untuk menuntut wang ini, prosesnya sangat mudah.
Kita hanya perlu mengisi borang di pejabat insurans dan menunggu lebih kurang 10 hari bekerja untuk menerima wang tuntutan tersebut. Mudah kan?
Tuntutan “Recycle Ken” pula hanya boleh dilakukan di Tokyo. Sekiranya tinggal di Tokyo, boleh mohon sendiri. Kalau yang jauh macam kami ni, ejen sedia membuat tuntutan bagi pihak kita dengan sedikit caj perkhidmatan.
Setelah selesai semua urusan ini, maka tamatlah segala urusan berkaitan kenderaan yang pernah kita miliki di Jepun. Sekarang kita hanya perlu berdoa dan bertawakkal agar perjalanan kenderaan kita selamat sampai ke Malaysia.
Insha-Allah suatu hari nanti saya akan kongsikan prosedur pendaftaran kereta import di Malaysia dan juga tatacara pengiraan cukai eksport.
Moga perkongsian kali ni memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan panduan mengeksport kereta dan memberi ilham kepada mereka yang bercita-cita untuk memiliki kereta idaman dari Negara Matahari Terbit.
Semoga kalian semua dalam rahmat Allah sentiasa. Amiinn.
Anda boleh baca sendiri tulisan Khairul di siaran Facebooknya di sini.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar
pls call me bro
Mohon minta kongsi bantuan Saya ada beli kereta import dari Jepun sama ada Saya sudah buat pembayaran insurans dan roadtex dan itu sudah siap tapi ada lagi dia minta uang cagaran AP untuk pelepasan kastam dan dia bilang uang akan di kembalikan dalam tempoh 2jam selepas pemrosesan sudah siap apa betul prosedur nya macam itu minta penjelasan
mau belajar bro