Mercedes C200 baru dikemaskini tak sampai 2 tahun lepas dengan enjin dan beberapa kemasan baharu. Namun kali ini, Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan C200 AMG Line yang lebih bergaya dan dilengkapi teknologi terkini.
Mercedes C200 ini merupakan model CKD, dan dijual pada harga RM251,587.39 (atas jalan tanpa insurans). Di bawah hud depannya ialah enjin 2.0-liter turbo 4-silinder baharu yang lebih berkuasa. Enjin ini menjana 204hp dan 300Nm tork.
Dipadankan dengan transmisi 9G-Tronik 9-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang, C200 AMG Line mampu memecut dari 0-100 dalam masa 7.1 saat, dan mencapai kelajuan maksima 250km/j.
Penggayaan luar termasuklah kit badan AMG Line yang terdiri dari gril radiator baharu dengan logo Mercedes di tengah, apron depan AMG dengan ruang kemasukan udara yang sporti, kemasan krom, dan bampar belakang AMG. Pelengkap kepada gaya ini adalah satu set rim AMG 18-inci aloi ringan.
Pakej AMG Line diteruskan ke bahagian dalam. Antara aksesori AMG Line adalah balutan kulit Artico, tuil gear di depan roda stereng, dan pedal sports AMG.
Ciri keselamatan pula merangkumi Active Brake Assist dan Blind Spot Assist. Terdapat juga PRE-SAFE yang mempersiapkan dan melindungi penumpang sebelum berlakunya kemalangan. Sistem ini mengesan pelanggaran yang tidak dapat dielakkan dan akan mengurangkan risiko kecederaan.
C200 turut dilengkapi Mercedes me connect iaitu sistem keterhubungan generasi terkini seperti pada model-model terkini Mercedes. Antara fungsinya adalah menghidupkan dan mematikan enjin dari jauh, dan memeriksa paras bahan api.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar