Semasa kita membesar, pastinya ada kereta atau motosikal yang banyak terlibat dalam urusan keluarga kita. Mungkin ianya Proton Saga lama, Nissan Sunny lama, atau motosikal seperti Honda C70.
Kenderaan-kenderaan ini yang membawa kita ke sekolah dan digunakan oleh ibu-bapa kita untuk mencari rezeki. Cuma bezanya kereta atau motosikal ini masih disimpan keluarga atau telah lama dijual.
Buat seorang pengguna Facebook, Azlan Ramli, beliau membesar dengan sebuah Honda C70. Namun motosikal itu tidak lagi bersama keluarganya sejak 1996-1997. Menariknya, baru-baru ini Azlan telah membuat “jejak kasih” terhadap C70 GBO itu dan berjaya menjumpainya!
Namun keadaan motosikal itu tidaklah begitu sedap dipandang, maklumlah ia tersadai setelah bertahun-tahun digunakan untuk kerja penghantaran tong gas.
Azlan sebenarnya salah seorang rakan media kami, seorang wartawan di sebuah akhbar Bahasa Inggeris.
Dia tetap gembira dan terharu dengan penemuan itu. Ibarat berjumpa semula dengan seorang ahli keluarga setelah lama terpisah! Menurut Azlan, dia menjejaki C70 itu melalui data JPJ.
Mengenai sejarah keluarganya dengan motor itu, katanya: “Ayah beli (baru) tahun 1981. Kadang-kadang dia guna pergi kerja. Masa tu saya usia 8 tahun. Masa saya usia 9 tahun, abang saya ajar saya tunggang motor itu.
“Pada pertengahan 1980an, abang saya guna ke sekolah dan politekniknya. Bila saya dapat lesen pada tahun 1989, saya pula yang guna.
Tambahnya lagi dalam satu siaran Facebook di Group Honda C70 Malaysia, motor itu serta tunjuk ajar dalam majalah Roda-Roda telah membuatkannya meminati bidang kejuruteraan dan motosikal.
“Sangat banyak kenangan manis, indah, pahit, sakit, sedih, seram dan macam-macam lagi dengannya, dari tahun 1989 ke 1994.
“Puas ubahsuai, bereksperimen, merempit dan macam-macam dengan C70 tu, walaupun poket selalu sangat kering,” ceritanya.
Selepas Azlan berhijrah untuk bekerja di Kuala Lumpur pada 1994, dia tidak membawa motosikal itu bersamanya kerana ia masih digunakan oleh ayahnya.
Tetapi suatu hari apabila pulang ke kampung sekitar 1996-1997, dia dapati motosikal itu telah tiada.
“Ayah dah jual, ada sedikit sedih, tapi saya tolak tepi perasaan itu.
“Saya pun tak kisah sangat, sebab sibuk dengan kehidupan kerja. Tetapi jauh di sudut hati, saya tak melupakannya.”
Dari tahun ke tahun, Azlan tetap menyimpan hasrat untuk mencari semula Honda C70 GBO itu dan membuat tawaran membelinya semula.
Kini dia telah bertemu semula dengan motosikal yang banyak berjasa itu.
“Absorber EX5 yang saya pasang tahun 1990 pun dah bengkok,” katanya semasa melihat keadaan terkini motosikal itu.
Ketika dihubungi Motoqar, Azlan berkata dia akan membuat urusan pindah hak-milik motosikal itu esok (18 Julai 2020) dan akan melakukan proses baik-pulih.
Kami akan siarkan artikel selepas motosikalnya siap nanti. Sama-sama kita nantikan. Pasti cun!
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar