Alex Rins dijangka akan terlepas sesi pembukaan semula kejuaraan MotoGP, selepas mengalami kemalangan ketika pusingan kelayakan MotoGP Sepanyol yang diadakan di litar Jerez.
Pelumba kelahiran Sepanyol tersebut berpeluang memperbaiki catatan masanya, namun telah terjatuh ketika membelok di selekoh terakhir dalam sesi kelayakan kedua.
“Dia telah mengalami patah tulang, terkehel di bahagian bahu kanan. Ubat bius telah diberikan untuk mengembalikan bahunya pada kedudukan yang betul,” kata Doktor Mir, doktor perubatan MotoGP.
Rins juga telah dihantar ke hospital di Jerez untuk menjalani rawatan MRI, untuk mengetahui tahap kecederaannya.
“Saya tidak boleh membuat keputusan buat masa ini. Tetapi, saya rasa sesi perlumbaan ini akan sangat sukar untuk Rins,” tambah Doktor Mir.
Sementara itu, Rins juga memberitahu keadaan terkininya melalui laman Facebook miliknya. Dia juga telah memuat naik gambar dengan keadaan tangannya yang berbalut dengan caption “Sometimes you win, sometimes you learn.”
“Ini bukan permulaan musim yang kami inginkan. Tetapi, saya akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk kembali beraksi secepat mungkin.”
“Terima kasih kepada semua orang yang telah memberi kata-kata semangat dan pasukan perubatan yang telah bertungkus lumus untuk memastikan saya kembali beraksi,” kata Alex Rins.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar