Juara dunia MotoGP, Marc Marquez telah selesai menjalani pembedahan pada tangan kanannya yang patah kerana terbabit dalam kemalangan semasa saingan MotoGP Sepanyol pada Ahad lalu.
Pelumba pasukan Repsol Honda tersebut telah tersingkir dari perlumbaan selepas terjatuh ketika membelok di salah satu selekoh ketika perlumbaan memasuki pusingan ke 22.
Marquez kemudiannya segera dibawa ke hospital selepas difahamkan mengalami patah tulang pada tangan kanannya.
Dia telah dihantar ke Barcelona untuk membuat pembedahan pada hari Selasa, dan difahamkan pembedahan tersebut telah berjaya. Berdasarkan pembedahan yang dilakukan oleh pasukan Dr. Xavier Mir, mereka telah mengesahkan saraf radial Marquez tidak mengalami sebarang kecederaan.
Doktor di Dexeus Hospital, dimana tempat pembedahan ini dilakukan telah memperbaiki struktur tulang Marquez dengan menyertakan plat titanium dan beberapa skru.
Menurut Dr. Mir, Marc Marquez dijangka dapat kembali beraksi di saingan MotoGP iaitu pada MotoGP Republik Czech yang akan diadakan pada bulan Ogos.
Marquez akan terlepas aksi MotoGP Andalucía yang diadakan di litar Jerez, dan pasukan Repsol Honda tidak akan menggantikan pelumba lain untuk berlumba di tempat Marquez.
Ini bermakna, adiknya iaitu Alex Marquez akan menjadi satu-satunya pelumba yang mewakili pasukan Repsol Honda di saingan MotoGP Andalucía yang dijadualkan akan berlangsung pada 26 Julai nanti.