Walaupun Toyota membuat keputusan untuk tidak memberikan versi TRD kepada Corolla 2021, sedan tersebut walaubagaimanapun kini mendapat versi baru iaitu Apex Edition, khas untuk pasaran Amerika Syarikat.
Versi sport edisi terhad ini akan diberikan pada varian SE dan XSE, dimana ia kini disediakan dengan sistem suspensi dan casis yang telah ditala semula.
Apex Edition akan menawarkan enjin 2.0-liter 4-silinder yang mampu menghasilkan sehingga 169hp sebagai pilihan, dan akan disertakan dengan ekzos sport yang ditala khas.
Sama seperti Corolla Altis di pasaran Malaysia, enjin ini dipadankan dengan transmisi CVT. Tetapi 120 daripada 6,000 unit yang akan dihasilkan akan dilengkapi transmisi manual 6-kelajuan dengan fungsi rev-matching. Transmisi manual ini boleh didapati pada varian SE.
Apex Edition menampilkan penampilan reka bentuk yang telah dinaik taraf, terutamanya pada bahagian hadapan. Ianya kini kelihatan ‘garang’ selepas disertakan dengan spoiler dan kemasan tembaga yang disertakan pada bahagian hadapan dan belakang.
Coil spring baru yang disertakan juga telah menyebabkan penurunan tinggi kereta ini sebanyak 6.0 inci, yang menambahkan lagi penampilan sportinya.
Sistem suspensi yang telah ditala juga akan mengurangkan body-roll dan meningkatkan lagi kawalan stereng. Body roll juga dikurangkan dengan penggunaan stabiliser bar lebih keras. Roda aluminium dengan saiz 18-inci juga ditawarkan sebagai pilihan.
Untuk harga, Apex Edition pada varian SE bermula pada USD23,230 (RM98,785), manakala untuk Apex Edition pada varian XSE bermula pada USD26,680 (RM113,456).
Toyota Corolla Apex Edition akan mula dijual pada bulan September hingga November tahun ini.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar