Pendedahan Tesla Cybertruck sememangnya mengejutkan dunia kerana banyak sebab. Ia pastinya akan menjadi salah satu pelancaran yang tidak akan dilupakan dalam sejarah automotif.
Walaubagaimanapun, laporan terkini mengatakan bahawa Tesla langsung tidak membuat sebarang kajian pasaran sebelum menghasilkan Cybertruck. Hal ini disahkan dari satu temubual oleh Automotive News dengan Elon Musk.
Musk berkata: “Kajian pasaran? Kami hanya hasilkan sebuah kereta yang nampak hebat dan sangat pelik. Saya hanya mehu mencipta sebuah kereta kebal futuristik. Sesuatu yang nampak seperti dari Blade Runner atau Aliens atau sesuatu seperti itu tetapi tetap praktikal.”
Dan walaupun Elon tidak risau jika Cybertruck tidak akan laku, jika terbukti ia tidak mendapat sambutan, Tesla mempunyai rancangan lain. Pengeluar itu akan membatalkan Cybertruck dan akan menjual trak pikap elektrik yang nampak lebih konvensional.
Wah, suka-suka dia je batalkan macam buat trak mainan pula, kan?
Musk menambah, “(Saya) tidak risau sangat kerana jika betul tiada siapa mahukan trak pikap yang nampak sangat pelik, kami akan buat pula trak pikap yang kelihatan normal, tiada masalah.
“Sudah banyak trak pikap yang nampak hampir sama; sukar anda dibezakan. Dan ya, kami boleh sahaja hasilkan trak pikap serupa itu, mudah sahaja. Jadi itulah strategi backup (alternatif) kami.”
Melihatkan kepada 200,000 pendahuluan yang telah diberikan (USD100 yang boleh dipulangkan semula), Tesla tidak perlu risau jika terpaksa mambatalkan Cybertruck dan menggantikannya dengan model yang lebih ‘kelihatan biasa’.
Tambahan lagi, Musk mengatakan Cybertruck bukanlah disasarkan kepada pembeli trak pikap biasa – ia tidak mensasarkan sebarang pembeli spesifik dan dijangka dilancarkan secara rasmi pada 2021.
Pada pendapat anda, adakah Cybertruck akan dibatalkan atau diteruskan? Kami rasa, ia akan diteruskan dan kenyataan di atas hanyalah salah satu strategi pemasaran Elon Musk.
Sama-sama kita nantikan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar