‘Campervan’ merupakan sejenis kenderaan yang diistilahkan sebagai penginapan bergerak. Konsep kenderaan ini biasanya lebih popular di negara-negara Barat berbanding di Malaysia.
Namun kebelakangan ini, campervan semakin popular di Malaysia terutamanya bagi mereka yang inginkan pengalaman percutian yang lain daripada yang lain serta mencabar namun cukup selesa.
Seorang gadis yang dikenali sebagai Farah, membuat keputusan untuk menukar Perodua Myvi miliknya menjadi sebuah campervan.
Menurut Farah, dia memulakan percutian 10 hari bermula dari Melaka kemudian menuju ke Kuala Lumpur, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor sebelum pulang semula ke Melaka.
Sepanjang tempoh percutian itu, Farah akan berhenti di tapak perkhemahan berbayar atau meminta izin untuk meletakkan keretanya di mana-mana tanah persendirian yang dilengkapi dengan tandas awam.
Menurut Farah, kos ubah suai Myvi miliknya menjadi sebuah campervan itu hanya menelan belanja kira-kira kurang daripada RM500 sahaja.
Park your car, crossed feet and enjoy the view..🚙🌅🌴 Nak bercamper boleh, nak berkelah boleh, nak masak2 boleh, eh myvi…
Posted by Farah Nabilah on Sunday, July 26, 2020
Dia menggunakan papan lapis yang boleh dilipatkan sebagai dasar kepada katil di dalam kereta dan hanya meletakkan tilam nipis di atasnya.
Di bahagian bonet pula, dia memuatkan meja yang boleh dilipat, di mana ia digunakan Farah untuk memasak, makan dan macam-macam lagi.
Idea untuk melakukan ubah suai itu diinspirasikan daripada rakannya, Asri Nawawi yang menukarkan kereta Kancil miliknya menjadi campercar.
Farah turut meminta pandangan dan nasihat daripada Asri dalam usaha untuk menukarkan Myvi miliknya menjadi campervan versi yang lebih ringkas.
“Ia tidak melibatkan modifikasi yang besar. Saya mahu ianya ringkas dan mudah alih, jadi apabila saya memandu kereta, ianya masih kelihatan sebuah Myvi yang asal.”
“Ia hanya akan nampak seperti camper jika saya berhenti dan meletakkan kereta saya di suatu kawasan sahaja”,kata Farah.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar