Perodua Myvi, Axia, Bezza tiga model paling laku di Malaysia, 97,373 unit setakat ini

2794

Perodua merekodkan Julai 2020 sebagai bulan jualan tertinggi dengan 23,203 kenderaan didaftarkan.

Ini mengatasi Jun sebanyak 9.2 peratus, dan meningkatkan jumlah jualannya setakat tahun ini (YTD) kepada 97,373 unit.

Pengeluar kenderaan tersebut menganggarkan penguasaan pasaran Julai dan YTD sebanyak 40 peratus dan 42 peratus masing-masing.



Perodua Myvi, Axia dan Bezza menduduki tiga tempat teratas dari segi jualan YTD di Malaysia dengan 29,313, 28,107 dan 25,416 unit terjual masing-masing.

Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata, “Perodua Myvi, kenderaan terlaris di Malaysia setiap tahun sejak 2006, baru-baru ini telah dinaiktaraf dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 terkini.

“Ia kekal menjadi antara kenderaan dengan ciri keselamatan canggih yang paling mampu milik di negara ini.

“Sejak kembali beroperasi selepas penutupan selama dua bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan kami telah membangkit kembali dengan cepat, didorong pengecualian cukai jualan oleh pihak kerajaan yang akan berlangsung sehingga akhir tahun.

“Sekiranya perkembangan ini berterusan, jumlah jualan yang menggalakkan ini akan membolehkan kami membantu eko-sistem pembekal dan pengedar automotif pada masa yang sukar ini,” tambahnya.

Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menganggarkan bahawa jumlah keseluruhan industri (TIV) sekurang-kurangnya 500,000 unit diperlukan tahun ini untuk memastikan kelangsungan eko-sistem automotif.

“Di sebalik krisis Covid-19 ini, kami menyedari bahawa kami harus bekerja pada kapasiti penuh untuk membantu ekonomi Malaysia dan melindungi pekerjaan.

“Sebagai peneraju pasaran, keutamaan Perodua adalah untuk terus menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik untuk memaksimumkan kepuasan pelanggan. Kami komited untuk terus menawarkan nilai yang lebih baik kepada semua rakyat Malaysia dari segi harga yang berpatutan, kualiti, teknologi dan ciri-ciri canggih yang terbaharu,” katanya.

Semua model semasa Perodua mempunyai kandungan komponen tempatan lebih 90 peratus dan disebabkan skala ekonominya, alat ganti servis ditawarkan pada harga yang berpatutan dan mudah didapati, memberikan para pelanggannya ketenangan minda yang menyeluruh.

Dato’ Zainal menambah bahawa Perodua mengamalkan konsep Simple, Slim and Compact dalam semua operasinya, merangkumi interaksi dengan semua pihak berkepentingan, di samping sentiasa mengutamakan insan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here