Pengeluar-pengeluar kereta sememangnya boleh mengejutkan kita dengan idea konsep cool dan luar biasa sekiranya diberi peluang.
Kebanyakannya digunakan untuk mempamerkan inovasi, dan kadang-kadang sekadar untuk menunjukkan betapa gilanya mereka. Antara yang paling gila pastinya Renault Espace F1.
Kenapa? Mana tidaknya, disumbatnya enjin F1 pada sebuah MPV. Bayangkan enjin F1 Mercedes-AMG Petronas hari ini dipasang pada Proton Exora.
Semasa Espace mula diperkenalkan, pembeli melihatnya sebagai sebuah kenderaan sesuai untuk aktiviti riadah keluarga. Disebabkan ia sangat popular, Renault menghasilkan sebuah versi istimewa untuk meraikan usia 10 tahun model ini. Maka lahirlah jentera garang ini.
Di luar, Espace F1 dilengkapi spoiler besar, rim baharu, tayar slick, bampar depan berbeza dan ruang kemasukan udara sisi besar.
Lain dari itu, ia kelihatan serupa dengan Espace standard yang pembeli biasa pandu untuk hantar anak ke sekolah. Di bahagian dalam, ia berbeza sepenuhnya.
Tempat duduk selesa tiga baris diganti dengan 4 tempat duduk bucket, casis gentian karbon ringan F1, dan badan gentian karbon.
Enjinnya ialah dari jentera F1 1993 Williams-Renault FW15C. Nadi 3.5-liter V10 itu menjana 800hp. Asalnya ia hanya menghasilkan 700hp, tetapi ditingkatkan untuk Espace F1 ini.
Disebabkan kebanyakan berat telah dikurangkan, angka-angkanya memang gila. Espace F1 mampu mencapai 100km/j dalam 2.8 saat, dan 200km/j dicapai dalam 6.9 saat sahaja!
Kelajuan maksima pula ialah 312km/j. Angka-angka ini memang dalam liga supercar, dan angka ini masih gila untuk standard hari ini.
Dan paling mengagumkan dari segi prestasinya ialah, Renault Espace F1 ini mampu memecut ke 270km/j dan kembali berhenti, semuanya dalam 600meter sahaja. Terima kasih kepada brek karbon seramik padanya.
Espace F1 pernah ditampilkan dalam permainan simulator Gran Turismo 2. Jentera konsep ini kini disimpan dan dipamerkan di Matra Museum di Perancis.
Sumber imej: F1 Fanatics
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar