Dalam industri permotoran hari ini, agak sukar untuk kereta dengan ciri-ciri idaman peminat tegar kereta (enthusiast) direalisasikan.
Tetapi hari ini, sejenis kereta untuk anda peminat tegar akan dihasilkan, iaitu BMW M3 Touring. Perkara itu disahkan oleh BMW sendiri melalui akaun Instagram @bmwm dengan kapsyen dua perkataan: Mic Drop.
M3 Touring merupakan versi wagon untuk sedan prestasi M3, dan dari gambar teaser yang disiarkan itu, ia menampakkan ekzos dan diffuser yang membezakannya dari 3-Series Touring biasa.
BMW M3 Touring ini besar kemungkinan akan menggunakan pilihan powertrain sama dengan M3 sedan. Ini bermaksud enjin 3.0-liter twin-turbo 6-silinder sebaris dengan 473hp dan 600Nm tork.
Ia juga akan ditawarkan dengan varian pacuan roda-belakang atau semua-roda, dan paling menarik, akan turut mendapat pilihan transmisi manual!
Sama seperti M3, versi wagon M3 Touring ini juga bakal menampilkan gril depan kidney yang kita dapat lihat pada 4-Series 2021 terkini. M3 dan M4 sedan dijangka dilancarkan bulan depan.
BMW merancang untuk menguji prototaipnya di Nurburgring beberapa hari lagi sebagai permulaan dua-tahun pembangunannya. Ini bermakna paling awal M3 Touring ini dikeluarkan ialah pada 2022.
Yang pasti, semua pasti tidak sabar untuk melihat rupa keseluruhan dan prestasi kereta ini. Antara M3 Touring, Audi RS4 Avant dan Mercedes-AMG C63 S Wagon, mana satu jadi pilihan pembaca Motoqar?
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar