Tujuh lelaki yang mengaku bersalah memandu kereta di bawah pengaruh alkohol pada bulan Febuari lalu masing-masing didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat.
Kesemua tertuduh ialah Liew Zi Huang, 29; Teo Thien Ming, 33; Ng Ser Hui, 37; Lee Chee Kiong, 51; Ling Haw Ping, 57; Siow Yang Kuan, 58, dan Koh Swee Kiat, 66.
Mereka membuat pengakuan berkenaan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Syafiq Mustaza.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa memandu kereta dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan di Kilometer 3 Jalan Kluang, Batu Pahat pada 16 Februari lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 serta boleh dipenjarakan tidak melebihi 12 bulan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Afiqah Radhiah Zainurin, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.
Pihak pendakwaan turut memohon mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya kepada semua tertuduh terbabit.
Mohd Syafiq kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 terhadap semua tertuduh atau dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Kesemua tertuduh kemudian membayar denda terbabit.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar