Memang tidak dapat dinafikan, setiap ibu pasti mempunyai pengalaman berbeza-beza ketika bersalin. Ada di antara mereka yang mengambil masa yang agak lama dan sebaliknya.
Tetapi kali ini lain pula ceritanya apabila seorang suami yang terpaksa menjadi ‘bidan’ menyambut kelahiran cahaya mata ketiganya dalam kereta kerana keadaan jalan raya yang sesak.
Menurut posting Facebook Hasrul Wahab, dia menceritakan pengalaman menyambut kelahiran cahaya mata di dalam kereta miliknya. Pada mulanya, setelah isterinya memberitahu tentang tanda-tanda kelahiran yang semakin dekat, dia dan isteri kemudian bergegas ke hospital untuk tindakan berjaga-jaga.
Permulaan perjalanan mereka tidak begitu rumit kerana keadaan lalu lintas yang tidak sesak. Namun, ketika mereka tiba di plaza tol Kesas, lalu lintas di kawasan tersebut secara tiba-tiba menjadi sesak kerana pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mula membuat sekatan jalan.
Pada masa yang sama, isteri Hasrul memberitahunya bahawa masa bersalinnya sudah tiba. Setibanya mereka di sekatan, anggota JPJ ada meminta lesen memandu namun Hasrul terus menyatakan yang isterinya sudah bersalin di dalam kereta.
Mendengar hal tersebut, pegawai JPJ yang bertugas dengan segera menghubungi ambulans, manakala Hasrul pula menjadi ‘bidan’ untuk isterinya.
Disebabkan ambulans lambat sampai ke lokasi, pegawai JPJ yang bertugas memutuskan untuk mengiringi Hasrul dan isterinya ke hospital supaya mereka berdua tiba di hospital dengan kadar segera.
“Syukur selamat sampai di bahagian kecemasan. Terima kasih abang-abang JPJ atas bantuan malam tadi.”
“Alhamdulillah wife dan baby boy semua sihat. Untung anak ketiga ni keluar-keluar terus dapat escort. Vvip gitu,” kata Hasrul.