Era kereta elektrik semakin giat dibangunkan di seluruh dunia. Beberapa negara juga kini menyediakan stesen pengisian bateri kereta elektrik awam untuk kegunaan pemilik kereta elektrik.
Baru-baru ini, tular satu video dari China yang memaparkan sebuah kereta elektrik terbakar dan meletup ketika sedang dicas di stesen pengisian bateri kereta elektrik.
Kejadian ini difahamkan berlaku pada bulan Ogos yang lalu.
Menurut laporan tempatan, pemilik kereta elektrik bewarna merah memarkir keretanya di Sanming, selatan China, dan menghubungkannya ke stesen pengecasan.
Model kereta elektrik tersebut masih belum dikenalpasti, namun seperti yang dilaporkan oleh Drive, ia serupa dengan BAIC EX360. Mungkin juga ia ialah model hibrid plug-in dari BAIC.
Pada mulanya, asap mulai keluar dari kereta tidak lama setelah ia dicas di stesen pengecasan. Pemiliknya dengan segera menghubungi pihak bomba, yang kemudian bertindak menyembur kereta elektrik tersebut dengan air sejuk.
Berdasarkan video, ketika disembur, kereta elektrik tersebut tiba-tiba meletup, yang menyebabkan bonet belakang dan beberapa komponen lain tercampak merata-rata.
Menurut kajian dari Carscoops, menggunakan air untuk memadamkan api pada kenderaan elektrik adalah penyelesaian yang lebih baik daripada busa atau bahan kimia kering lain yang banyak digunakan oleh bomba untuk jenis kebakaran yang lain.
Sebenarnya, cara terbaik untuk mengawal kebakaran kereta elektrik adalah dengan mengalirkan arus terus dan fokus pada bateri. Hal ini dilakukan oleh anggota bomba dalam kejadian ini.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar