Seorang pemandu kereta warga asing panik sejurus kereta dipandunya terperangkap di dalam pasir pantai Saujana, Port Dickson.
Saksi kejadian yang dikenali sebagai Mariam, 37, berkata, dia yang berada di pantai itu mendapati tayar kereta itu terperangkap di dalam pasir dan badan kereta model Honda City itu ditenggelami air laut.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku jam 7 pagi apabila dia melihat kereta itu dipandu laju melalui persisiran pantai sebelum tersangkut di kawasan pasir berair.
“Tidak lama kemudian pemandu kereta dan teman wanitanya warga Afrika keluar dari kenderaan dan meminta bantuan orang ramai berikutan air laut hampir pasang.
“Beberapa orang awam kemudian membantu menolak kereta itu keluar dari kawasan yang berpasir ke lokasi selamat,” katanya.
Menurutnya, warga asing berusia 30-an itu mengaku baru sahaja tiba di lokasi peranginan Port Dickson.
“Saya tidak pasti mengapa dia memandu di persisiran pantai kerana tidak saya pernah melihat ada orang lain melakukan perbuatan seumpama itu.
“Apabila ditanya adakah kereta itu disewa, lelaki warga asing itu tidak menjawab. Dia terus berlalu pergi sebaik enjin keretanya boleh dihidupkan semula sejam kemudian,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar