Baru sahaja mengumumkan yang tempahan Seltos telah dibuka awal bulan lepas, kini Naza Kia “belanja” pula imej-imej terperinci lampu depan dan belakang SUV kompak ini.
Dengan slogan “Elegantly Crafted to Illuminate” atau “direka dengan elegan untuk menerangi”, Kia Seltos dikatakan bakal meletakkan standard tinggi untuk SUV segmen-B.
Naza Kia mula membuka tempahan untuk Kia Seltos dan tempahan boleh dibuat di bilik pameran terpilih. Untuk melihat senarai bilik pameran, lawati pautan ini: https://bit.ly/3igB8RJ.
Seltos akan menampilkan teknologi pencahayaan terkini dan mendapat lampu depan LED penuh dengan bar LED di atas gril. Sementara itu, lampu belakang juga unit LED dengan lampu isyarat berlapis.
Kia Seltos akan ditawarkan dalam dua varian, iaitu EX dan GT Line. Kedua-dua varian akan mendapat warna Glacier White Pearl dan Gravity Red sebagai standard.
Walaubagaimanapun, warna Intense Red hanya khas untuk EX, manakala Intelligency Blue unik untuk GT Line.
Kedua-dua varian akan hadir dengan enjin 1.6-liter Gamma empat-silinder petrol yang mampu menjana 123hp dan 151Nm tork. Transmisi ialah automatik 6-kelajuan.
Ciri lain adalah rim 17-inci dengan tayar 215/60, tetapi rekaan rim adalah berbeza untuk EX dan GT Line.
Di bahagian dalaman pula, Seltos didatangkan dengan bahan futuristik dan berkualiti. Ia akan dilengkapi sistem infotainmen 8-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, corong penghawa dingin belakang, dan enam beg udara.
Ciri terperinci lain masih belum diketahui buat masa ini, kami akan maklumkan sekiranya ada maklumat baharu atau semasa pelancarannya nanti.
Setakat ini, apa pendapat anda mengenai SUV ini? Satu alternatif menarik untuk yang mahukan kelainan?
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar