Gabenor California, Gavin Newsom mengeluarkan perintah eksekutif yang mewajibkan semua kenderaan penumpang baru yang dijual di negeri tersebut sifar pelepasan (zero emission) menjelang 2035.
Ini bermakna, syarikat pengeluar kenderaan tidak lagi dapat menjual kenderaan baru dengan enjin petrol dan diesel di California. Perintah ini juga tidak terkecuali kepada kenderaan mesra alam seperti plug-in hibrid.
Perintah ini juga merupakan langkah drastik Dewan Sumber Udara California (CARB) yang kini ditugaskan untuk mencipta peraturan yang memastikan semua kenderaan penumpang sifar pelepasan menjelang 2035.
CARB juga akan menghasilkan peraturan yang sama, khas untuk kenderaan berat pada tahun 2045.
Menurut pejabat gabenor, sektor pengangkutan juga bertanggungjawab ke atas semua pencemaran karbon di California, dimana sektor ini menyebabkan 80 peratus pencemaran udara dan 95 peratus pelepasan diesel toksik.
Walau bagaimanapun, peraturan ini tidak akan menghalang masyarakat California memiliki kenderaan berenjin petrol dan diesel, dan tidak menjejaskan syarikat yang menjual kenderaan terpakai.
California merupakan salah satu pasaran terbesar untuk kenderaan baru di Amerika Syarikat dan langkah untuk mengeluarkan kenderaan dengan sifar pelepasan berkemungkinan akan mempengaruhi masyarakat di kawasan yang lain.
Ia juga akan mempengaruhi syarikat pengeluar kenderaan kerana akan mendorong mereka untuk memiliki barisan kenderaan dengan pelepasan sifar.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar