Esna Venere – Kisah supercar buatan Malaysia yang tidak kesampaian

8224

Kita sudah hampir ke penghujung tahun 2020, dan nampaknya impian kita untuk melihat kereta terbang mungkin tidak akan menjadi realiti dalam masa terdekat.

Tapi kita boleh berbangga dengan pencapaian pengeluar nasional seperti Proton dan Perodua yang menghasilkan kereta-kereta yang mengujakan, lengkap dengan teknologi terkini serta menepati citarasa pengguna.



Namun tahukah anda Malaysia pernah (atau hampir) mengeluarkan supercar mereka sendiri? Ya, Malaysia bukanlah negara pembuat supercar seperti Itali, Jerman, Jepun dan Amerika Syarikat. Tetapi kita sebenarnya pernah mempunyai syarikat supercar sendiri iaitu Esna.

Pada 2005 iaitu kira-kira 15 tahun lepas, negara pernah dikejutkan dengan pendedahan Esna Venere, sebuah prototaip supercar.

Rekabentuk Esna Venere ini diilhamkan oleh anak tempatan sepenuhnya, dan projek ini hanya mengambil masa lima bulan dari lakaran atas kertas sehingga menjadi prototaip yang anda lihat ini.

Powertrain atau sumber kuasa kereta ini walaubagaimanapun dikatakan akan dibekalkan oleh syarikat luar. Esna Venere juga dikatakan akan dijual pada harga RM500,000 hingga RM800,000 (lebih kurang RM1 juta hingga RM1.6 juta untuk nilai wang hari ini).

Esna Venere mempunyai rekabentuk dan teknologi supercar terkini pada masa itu. Ia menampilkan rekaan coupe dua-pintu, badan diperbuat dari komposit gentian karbon, dan bahan-bahan ringan seperti aloi dan aluminium.

Hasilnya, berat jentera ini hanyalah sekitar 1,080kg. Berat sedikit sahaja dari supercar Perodua Myvi, kan? Gurau sahaja, jangan sentap.

Dari tepi, Esna Venere sebenarnya mempunyai rupa grand tourer (GT) seperti Aston Martin DB7, Jaguar XK atau Ferrari Maranello.

Tetapi di bahagian depannya, Venere kelihatan lebih bersegi dan tajam, menyerupai Ferrari F430 dan Lotus Evora, serta bahagian kemasukan udara di bawah seperti Lamborghini Gallardo.

Di belakang pula, lampunya dari jauh juga menyerupai Ferrari, cuma ia seperti nombor 8 (bulat bersambung), tidak seperti Ferrari yang mempunyai dua bentuk bulat berasingan.

Venere dilengkapi sepasang ekzos bersegi di tengah-tengah. Rekaan ini nampak agak pelik pada 2005, tetapi semakin biasa untuk masa sekarang.

Dari segi powertrain, terdapat enjin 3.0-liter supercaj enam-silinder di bawah hud depannya. Enjin ini berpotensi menghasilkan kira-kira 350hp, dan boleh dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan manual atau automatik. Kelajuan maksima dikatakan sekitar 300km/j.

Tidak dipastikan sama ada Esna Venere menggunakan pacuan semua-roda (AWD) atau roda belakang (RWD), tetapi pastinya ia mempunyai pengendalian mantap. Ini kerana Venere mendapat suspensi double-wishbone untuk kesemua roda.

Selepas pendedahan di negara ini pada 2005 itu, pengeluarnya iaitu Esnasports Sdn Bhd mempunyai impian besar untuk mempamerkan kereta itu di Geneva Motor Show 2006.

Pengasasnya, Esmail Naziadin turut berkata untuk menyertakan Venere dalam perlumbaan Le Mans 24 Hours Endurance!

Sememangnya supercar terhad dengan 150 unit itu kedengaran sangat munasabah dan akan berjaya, malah pada masa itu Venere telah menerima 20 unit tempahan.

Tetapi malangnya, Esmail Naziadin meninggal dunia sebelum semua perancangan itu berjalan, maka impian supercar Malaysia turut terkubur.

Mungkin jika projek Esna Venere ini berjaya, Malaysia akan berada dalam kumpulan sama dengan negara pengeluar seperti disebut sebelum ini. Ibaratnya, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.

Paling tidak pun, kita akan berada bersama Denmark, Poland dan Croatia yang mengeluarkan jenama supercar baharu iaitu Zenvo, Arrinera dan Rimac. Ini adalah negara-negara yang selama ini tidak dikenali, tetapi telah berada dalam peta dunia automotif.

Mungkinkah negara kita akan menghasilkan supercar lain pada masa akan datang? Jika seorang bos berotak geliga seperti Christian von Koenigsegg menghimpunkan barisan pereka dan jurutera, pasti impian ini boleh diteruskan.

Sumber rujukan: Iluminasi.com, Autobuzz.my

Sumber foto: Autoworld.com.my

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here