Proton X50 telah menerima penarafan status EEV (Energy Efficient Vehicle) dan juga mendapat lima-bintang untuk ASEAN NCAP.
Perkara ini dikongsi oleh pengurusan tertinggi Proton dalam sesi preview pandu uji X50 di Litar Antarabangsa Sepang semalam.
SUV segmen-B Proton itu menerima penarafan EEV disebabkan enjinnya yang cekap dan efisyen. Proton X50 didatangkan dengan pilihan enjin 3-silinder 1.5-liter TGDi direct-injection dan 3-silinder 1.5-liter turbo port-injected.
Untuk 1.5TGDi, unit ini menjana 177hp dan 255Nm tork, sementara 1.5T menghasilkan 150hp dan 226Nm tork. Penggunaan petrol dikatakan pada 6.4 liter/100km untuk 1.5TGDi, manakala 6.5 liter/100km untuk 1.5T.
Jika anda perasan, penggunaan petrol untuk enjin 1.5TGDi yang lebih berkuasa itu adalah lebih rendah. Apabila ditanya, Proton berkata ini kerana ujian ini dilakukan mengikut situasi terkawal kitaran NEDC (New European Driving Cycle), maka 1.5TGDi mencatatkan bacaan lebih rendah.
Tetapi dalam situasi pemanduan dunia sebenar, segalanya terserah kepada cara pemanduan kita sendiri serta pelbagai faktor lain seperti cuaca, suhu dan keadaan trafik.
Berkenaan ASEAN NCAP (New Car Assessment Program), berita penerimaan lima-bintang ini baru diterima Proton pada hari Rabu (dua hari lepas), iaitu sehari sebelum sesi pandu uji.
Jadi, ujian perlanggaran untuk X50 telah dijalankan, cuma perincian mengenai keputusan itu masih belum dapat dikongsi. Proton berkata ia mungkin akan dikongsikan semasa hari pelancaran nanti.
Proton X50 dilengkapi dengan ciri keselamatan pasif dan aktif termaju. Ini termasuklah empat dan enam beg udara (bergantung kepada varian), ESC, Traction Control, ABS, EBD, Brake Assist, Hill Hold Assist dan Drag Torque Control.
Ciri keselamatan lebih maju pula ialah Advanced Driving Assistance System (ADAS) yang merangkumi pelbagai sistem seperti Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist, Autonomous Emergency Braking dan sebagainya.
Maka, tidak hairanlah X50 mendapat lima-bintang untuk ASEAN NCAP.
Nantikan ulasan pemanduan X50 kami dalam artikel-artikel akan datang.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar