Pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu sukar dinilai dengan wang ringgit ataupun harta benda. Demi kelangsungan hidup si anak, ibu sanggup menggadai nyawa memberikan yang terbaik bagi kesejahteraan permata hatinya.
Baru-baru ini, tular kisah seorang ibu yang dikenali sebagai Jumiati Masud, sanggup menunggang motosikal meredah hujan sejauh 30km demi menghantar anaknya, Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan, 19 untuk sesi pendaftaran di Universiti Sains Malaysia (USM).
Mereka yang berasal dari Simpang Ampat, Seberang Perai, itu antara yang mencuri tumpuan di hari kedua pendaftaran penuntut baharu secara pandu lalu di universiti berkenaan, kerana hadir menaiki motosikal dalam keadaan basah.
Menurut Izzulhaq, meskipun dia boleh menaiki bas, ibunya tetap berkeras mahu menghantar dan menyaksikannya berjaya masuk ke Universiti.
Sementara itu, Jumaiti tidak berhajat membawa anak sulungnya itu pulang semula ke rumah selepas mendaftar sebagai penuntut meskipun dibenarkan berbuat demikian.
“Biarlah dia di sini sahaja kerana penginapan pelajar lebih selesa dengan kemudahan rangkaian internet bagi memudahkannya belajar secara dalam talian.”
“Seorang ibu akan berkorban apa saja demi anaknya dan saya harap susah payah ini akan menjadi pembakar semangat kepada Muhammad Izzulhaq supaya belajar bersungguh-sungguh,” katanya lagi.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar