Sebuah bot laju yang pernah dibangunkan oleh Ferrari pada 1950-an kini sedia untuk dijual.
Dikenali sebagai Ferrari Arno XI 1952, ia merupakan sebuah bot laju yang dihasilkan untuk mengatasi rekod kelajuan dunia pada ketika itu dalam kelas 800kg. Bot laju ini dihasilkan oleh Ferrari melalui kerjasama dengan seorang pelumba bot laju iaitu Achille Castoldi.
Castoldi pada mulanya difahamkan menyertakan enjin V12 4.5-liter dari Ferrari 375 untuk bot laju ini. Namun, Enzo Ferrari kemudiannya menyatakan bahawa lebih banyak kuasa diperlukan untuk menghasilkan rekod baru.
Dia kemudian mengubahsuai enjin tersebut dengan menyertakan nisbah mampatan baru, spark plug berkembar pada setiap silinder, dan dua supercharger yang besar. Secara keseluruhan, enjin bot laju ini mampu menghasilkan sehingga 550-600hp mengikut rentak perlumbaan.
Bot laju ini mempunyai reka bentuk aerodinamik, dimana bahagian badannya dihasilkan menggunakan kayu keras dan dilitupi oleh lapisan kayu jenis mahogany veneer.
Bahagian atasnya disertakan dengan warna merah yang sinonim dengan Ferrari, manakala tempat duduknya disertakan dengan bahan kulit yang juga bewarna merah.
Bot laju ini juga disertakan dengan sayap dan muncung hadapan yang menyerupai ikan jerung.
Ferrari Arno XI bukan sahaja kelihatan menarik, malah bentuk aerodinamiknya juga membolehkan ia mencapai rekod kelajuan iaitu 242km/j. Ia juga difahamkan telah melalui proses baik pulih secara menyeluruh di Ferrari Classiche.
Bot laju ini kali terakhir ditawarkan untuk dijual pada acara lelongan RM Sotheby pada tahun 2012, di mana ia dijual dengan harga USD1.012 juta (RM4.24 juta). Ia kini sedia untuk dijual sekali lagi di duPont Registery dengan harga yang difahamkan sekitar USD12 juta (RM49.8 juta).