Setiap syarikat yang menjalankan perniagaan mempunyai risiko untuk muflis, termasuk dalam industri automotif. Oleh itu, banyak strategi dan perancangan diperlukan untuk sesuatu perniagaan itu stabil.
Untuk makluman, terdapat beberapa syarikat pengeluar kenderaan yang pernah muflis berkali-kali. Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat ini masih wujud sehingga ke hari ini dan menjadi syarikat pengeluar yang dikenali di seluruh dunia.
Berikut ialah empat syarikat pengeluar kenderaan yang pernah muflis suatu ketika dahulu:
1. Aston Martin – muflis 7 kali sejak tahun 1913
Syarikat pengeluar dari United Kingdom ini mula ditubuhkan pada tahun 1913 dan muflis buat kali pertama pada tahun 1924 ketika masih dimiliki oleh Lionel Martin. Setahun kemudian iaitu pada tahun 1925, mereka muflis sekali lagi.
Pada tahun 1932, syarikat ini muflis sekali lagi namun berjaya diselamatkan oleh Lance Prideaux Brune.
Pada tahun 1974, David Brown membeli syarikat ini dan pada ketika inilah siri ikonik Aston Martin DB diperkenalkan. Brown juga berjaya menyelesaikan semua hutang syarikat yang bernilai sekitar £5 juta (RM26.8 juta) pada tahun 1972.
Walaupun begitu, Aston Martin kembali muflis pada tahun 1974 kerana terjejas kepada krisis minyak yang berlaku di Amerika Syarikat.
Pada tahun 1975, Aston Martin dibeli oleh Peter Sprague, George Minden, dan Jeremy Turner, yang dibuka semula sebagai Aston Martin Lagonda Limited. Mereka mula memperkenalkan V8 Vantage pada tahun 1977.
Selepas banyak urus niaga yang tidak teratur, jenama ini sekali lagi dijual pada tahun 1981 kepada Victor Gauntlett.
2. Lamborghini – muflis 5 kali sejak tahun 1963
Sebelum menjadi syarikat pengeluar kenderaan terkenal di dunia, Lamborghini difahamkan telah muflis 5 kali sejak ia ditubuhkan pada tahun 60-an.
Syarikat pengeluar dari Itali ini pertama kali muflis pada tahun 1973, dimana krisis minyak berlaku pada ketika itu. Kemudian pada tahun 1974, ia dibeli oleh Georges-Henri Rossetti dan René Leimer dari pemilik sebelumnya, Ferruccio Lamborghini.
Syarikat ini kembali muflis pada tahun 1978, dan kemudian dibeli oleh Jean-Claude dan Patrick Mimran pada tahun 1980. Setelah ini, mereka tidak pernah muflis namun beberapa kali berpindah pemilik.
Pada tahun 1987, Lamborghini secara rasmi dimiliki oleh Chrysler, dan pada ketika inilah model Diablo mula diperkenalkan.
Chrysler kemudian menjual Lamborghini kepada kumpulan pelaburan Malaysia Mycom Setdco dan Indonesia V’Power Corporation pada tahun 1994, sebelum akhirnya dimilili oleh Volkswagen pada tahun 1998.
3. Lotus – muflis 2 kali sejak tahun 1948
Lotus pernah muflis sebanyak dua kali semenjak dibangunkan pada tahun 1948. Syarikat ini muflis buat kali pertama pada tahun 1980.
Lotus pada ketika itu mengalami masalah kewangan yang teruk sehingga mereka sama sekali tidak dapat menghasilkan kereta. Pada tahun 1982, pemiliknya iaitu Colin Chapman menemui jalan penyelesaian kepada masalah ini dengan bekerjasama dengan Toyota.
Lotus kemudian terlibat dengan skandal DeLorean dan berada di ambang muflis pada tahun 1983.
Namun David Wickins, pengasas British Car Auctions yang merupakan pemilik baru Lotus berjaya mendapatkan pelaburan baru dan mengembalikan kekayaan syarikat tersebut.
Pada tahun 1986, General Motors (GM) memperoleh 91 peratus saham dalam Lotus.
4. Citroen – muflis 2 kali sejak tahun 1919
Syarikat pengeluar dari Perancis, Citroen, telah muflis dua kali sejak ia ditubuhkan pada tahun 1919.
Citroen pertama kali muflis pada tahun 1934 karena kesahalan strategi penjualan. Mereka bahkan pernah menggunakan menara Eiffel sebagai papan iklan dari tahun 1925 hingga 1934.
Pengasas syarikat ini iaitu André Citroën meninggal dunia pada tahun 1935 dan diambil alih oleh Pierre Michelin yang membantu Citroen untuk terus bertahan.
Walau bagaimanapun, syarikat ini kembali muflis pada tahun 1974 kerana mereka gagal memperkenalkan kenderaan termahal dan termurah mereka. Faktor lain mereka muflis pada kali ini juga difahamkan kerana peraturan pelepasan yang ditetapkan.
Mereka berjaya bangkit pada akhir 1960-an dan awal 70-an dengan memperkenalkan beberapa model seperti GS, GS Birotor, CX, SM, Maserati Bora, Maserati Merak, Maserati Quattroporte II, dan Maserati Khamsin.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar