Setelah lebih setahun dilancarkan di peringkat global, Aston Martin DBX akhirnya mendarat di Malaysia hari ini. Ia dilancarkan oleh Aston Martin Kuala Lumpur di bilik pamerannya di tengah-tengah KL.
SUV pertama dari pengeluar UK ini membawakan ciri-ciri praktikal sebuah kenderaan premium, tetapi dengan elemen-elemen sporti dan elegan sebuah kenderaan Aston Martin.
Aston Martin DBX dibina di atas pelantar aluminium khas, direka untuk menjadi ringan dan sangat teguh. Selain itu, Aston Martin juga memastikan ia tetap mempunyai dinamik yang baik untuk on-road dan off-road.
Ciri luaran Aston Martin DBX termasuklah gril DB di depan, garisan-garisan badan yang menawan, hinggalah pintu but belakang yang mengambil inspirasi Vantage.
Sebagai sebuah jenama sports, aerodinamik juga mempengaruhi rekabentuk DBX ini, jadi ia direka menggunakan ujian CFD atau dinamik bendalir berkomputer.
Lampu DRL depan mempunyai ruang udara berintegrasi yang menyalurkan udara ke gerbang roda, membantu mengurangkan drag (seretan), daya angkat serta menyejukkan brek. Teknik aeroakustik pula digunakan untuk mencapai tahap kesenyapan kabin.
Di dalam pula, ia mendapat sentuhan dari Female Advisory Board, yang membantu memberikan kabin ergonomik. Ia meletakkan posisi kawalan utama kenderaan, konsol tengah dan rekaan papan pemuka supaya mudah untuk pengguna. Female Advisory Board juga memberikan input untuk perincian bahagian luar DBX.
Tempat duduk adalah dari kulit mewah dari rakan kongsi, Bridge of Weir. Siling dan birai bumbung elektrik pula adalah dari bahan Alcantara.
Satu lagi elemen utama rekabentuk kabin ialah rekaan elegan konsol tengah yang membolehkan ia berfungsi sebagai ruang simpanan fleksibel serta elemen rekaan penuh seni.
Selain dari kemewahan dan hasil seni, sudah tentu kabin DBX mendapat teknologi sepatutnya. Di tengah, terdapat skrin 10.25-inci dengan sistem yang menyokong Apple CarPlay. Untuk pemandu pula, terdapat skrin 12.3-inci di depan stereng untuk semua maklumat kenderaan.
Nadi kepada Aston Martin DBX ini ialah enjin 4.0-liter V8 twin-turbo yang terdapat pada DB11 dan Vantage. Ini memberikan DBX output sebanyak 542hp dan 700Nm tork dengan talaan khas.
Transmisi ialah automatik 9-kelajuan, dan kuasa dihantar ke semua roda melalui sistem pacuan semua-roda, differential tengah aktif dan LSD elektronik.
Ini membolehkan penghantaran kuasa yang tepat ke mana-mana roda yang memerlukan. Prestasi pecutan 0 ke 100km/j ialah 4.5 saat, dan kelajuan maksima 291km/j.
Dari segi pengendalian dan kawalan, Aston Martin DBX mendapat suspensi canggih iaitu suspensi udara adaptive triple volume yang boleh melaras kekerasan untuk pemanduan sporti atau selesa.
Ia digabungkan dengan sistem kawalan anti-oleng elektrik 48v dan penyerap hentak elektronik. Sistem ini mempunyai sehingga 1,400Nm daya tahan olengan yang akan memastikan badan kekal terkawal di selekoh berkelajuan tinggi.
Berminat dengan SUV berjiwa James Bond ini? And boleh mula menempahnya di Aston Martin Malaysia dengan harga RM818,000 (tanpa cukai, pilihan kustom dan insurans). Untuk maklumat lanjut, hubungi +60 (3) 2163 1196 atau layari www.astonmartinkualalumpur.com.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar