Baru-baru ini, tular satu video yang memaparkan seorang pemandu Perodua Myvi yang melakukan pusingan U secara mengejut dan menjadi punca kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal bersama pembonceng.
Selepas kejadian yang difahamkan berlaku di Bandar Tun Hussein Onn tersebut, pemandu berkenaan bertindak melarikan diri. Namun, kemalangan tersebut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Bertindak atas aduan mangsa, polis berjaya mengenalpasti identiti pemandu itu dan usaha mengesan suspek telah dipergiatkan polis, kata Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku pada 5 Oktober lalu jam lebih kurang 5.30 petang di Bandar Tun Hussein Onn, Balakong dan tiada laporan kemalangan dibuat oleh kedua-dua pihak pada hari kejadian.”
“Bagaimanapun pada 6 Oktober lalu lebih kurang 5.16 petang, penunggang motosikal yang merupakan mangsa kejadian langgar lari itu datang membuat laporan kemalangan,” katanya.
Tambah Mohd Zaid, semasa kejadian, motosikal mangsa datang dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn melalui Jalan Suadamai.
Menurutnya, selepas sampai di tempat kejadian, sebuah kereta Myvi telah membuat pusingan-U di simpang jalan itu secara tiba-tiba sebelum telah dilanggar oleh mangsa yang menunggang motosikal yang sedang bergerak lurus di jalan yang sama.
“Mangsa pembonceng motosikal mendapat kecederaan dalaman dan dirawat di Hospital Kajang manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan.”
“Pemandu kereta itu telah dikenalpasti dan usaha untuk mengesan sedang dijalankan.”
“Siasatan mendapati kemlangan tersebut berpunca dari kecuian pemandu kereta itu yang membuat pusingan U tanpa berhenti dan melihat kehadiran kenderaan lain sehingga menyebabkan kemalangan berlaku,” katanya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987 dan saksi kejadian diminta tampil berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Dinesh untuk membantu siasatan lanjut kes berkenaan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar