Enam orang jurutera dari pasukan Yamaha Monster Energy akan terlepas aksi MotoGP Perancis pada esok (11 Oktober), setelah salah seorang daripada mereka diuji positif Covid-19.
“Yamaha Motor Co Ltd dan Yamaha Motor Racing Srl dengan rasa sedih mengumumkan bahawa enam jurutera dari Yamaha MotoGP termasuk ketua projek YZR-M1, Takahiro Sumi tidak dapat hadir pada MotoGP Perancis,” kata Yamaha dalam satu kenyataan.
Selepas MotoGP Sepanyol yang berlangsung pada 27 September lalu, kakitangan Yamaha difahamkan biasanya tinggal di Andorra, sebuah negara kecil yang terletak diantara Perancis dan Sepanyol untuk menyertai saingan seterusnya di Perancis.
Namun, salah seorang dari enam jurutera dikatakan telah dijangkiti virus tersebut, dan ini bermakna mereka akan terlepas perlumbaan yang akan berlangsung di Perancis.
Jurutera Yamaha yang terlibat disahkan positif Covid-19 pada Selasa lalu, hanya beberapa hari sebelum pasukan tersebut dijadualkan melakukan perjalanan mereka ke litar Le Mans.
Yamaha Monster Energy juga berkata jurutera yang lain telah diuji negatif, tetapi ujian lain akan dilakukan dalam tempoh 24 jam seterusnya bagi memeriksa semula keputusan ujian yang pertama.
Menurut Yamaha, mereka kini dalam proses untuk mengganti kedudukan enam jurutera tersebut, namun kesemua dari mereka tetap akan berhubung dengan pasukan melalui sistem komunikasi jarak jauh.
Mereka juga difahamkan akan meninjau keadaan semasa pada minggu depan, bagi memastikan kesemua jurutera mereka yang postif Covid-19 dapat kembali di MotoGP Aragon yang akan berlangsung pada 18 Oktober.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar