Tanggapan pertama: Proton X50 – Enjin, kuasa, transmisi, dan pengendalian. Ok ke?

4174

Jadi awal bulan ini, kami dan para media lain telah dijemput ke Litar Sepang untuk ke sesi pandu uji ringkas kenderaan terhangat tahun ini, iaitu Proton X50.

Ia didedahkan secara rasmi kira-kira dua minggu sebelum itu pada 15 September 2020 dan Proton seterusnya telah membuka tempahan untuk SUV segmen-B mereka itu.



Empat varian ditawarkan dengan bayaran tempahan RM500, anda boleh baca laporan maklumat terperinci X50 di sini.

Untuk artikel ini, kita akan ulaskan tanggapan awal pemanduan Proton X50 melalui beberapa aspek iaitu enjin, kuasa, transmisi dan pengendalian.

Enjin

Bergantung kepada varian, Proton X50 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter TGDI direct-injection dengan output 177hp dan 255Nm, serta enjin 1.5-liter port-injected turbo dengan 150hp dan 226Nm.

Jika anda ingin mengetahui kenapa Proton menawarkan dua jenis enjin 1.5-liter, boleh baca di sini.

Enjin 1.5TGDI dikhaskan untuk X50 varian tertinggi Flagship, manakala 1.5T untuk tiga varian selebihnya, iaitu Standard, Executive dan Premium.

Unit yang kami pandu di Sepang merupakan varian Flagship. Perkara yang menjadi concern atau kerisauan netizen apabila mendengar bahawa enjin ini unit 3-silinder, ialah gegaran.

Apa yang boleh kami katakan, langsung tiada gegaran disebabkan jumlah silinder bernombor ganjil itu. Enjin terasa senyap dan lancar pada semua tahap pusingan (rpm).

Pada waktu melahu atau idle, terdapat sedikit bunyi seperti enjin diesel moden, tetapi itu bukanlah disebabkan konfigurasi 3-silinder. Ianya hanyalah bunyi sistem suntikan enjin serta komponen-komponen di bahagian atas blok enjin.

Kuasa

Dengan 177hp dan 255Nm serta bentuk badan SUV kompak, rasanya tidak perlu dipersoal sama ada output itu mencukupi untuk X50.

Dipadankan pula dengan transmisi DCT (dwi-klac) 7-kelajuan, Proton X50 dikatakan mampu memecut ke 100km/j dalam masa 7.9 saat sahaja.

Penghantaran kuasa juga cukup lancar dan mudah dikawal seperti yang kami alami semasa ujian slalom. Mudah untuk mengawal pendikit minyak sambil mengawal stereng dan mengemudi slalom itu.

Respon juga cukup baik, semasa penulis cuba membuat pusingan-U selepas drag race, pedal minyak terasa responsif pada kelajuan rendah walaupun hanya menyentuh sedikit dengan kaki kanan.

Transmisi

Seperti disebut di atas, Proton X50 dilengkapi transmisi DCT 7-kelajuan untuk kedua-dua jenis enjin yang ditawarkan.

DCT ini memberikan penukaran gear yang cukup cepat dan lancar, menyumbang kepada ‘kemenangan’ X50 dalam drag race bersama Honda HR-V 1.8 S dan BMW X1 sDrive18i.

Honda HR-V yang selama ini menjadi raja segmen crossover/SUV segmen-B mempunyai transmisi CVT yang melonjakkannya ke depan di awal perlumbaan, tetapi X50 memotong tidak lama kemudian.

BMW X1 pula diletakkan sekali dalam perbandingan kerana menggunakan konfigurasi enjin yang sama iaitu 1.5-liter turbo 3-silinder. Mungkin faktor lebih berat menjadikan X1 ‘kalah’ dalam drag race itu.

Dari segi karakter, apa yang penulis boleh katakan mengenai DCT X50 ini ialah ia tidaklah secepat dan terlalu sporti seperti DSG Volkswagen. Sebaliknya ia berada di tengah-tengah antara DSG dan transmisi automatik 8-kelajuan ZF seperti pada BMW.

Boleh dikatakan karakternya lebih mirip kepada ZF berbanding DSG, lebih terasa seperti sebuah torque converter biasa. Mungkin ini untuk disesuaikan dengan lebih banyak pengguna serta untuk gaya pemanduan yang lebih pelbagai.

Pengendalian

Akhir sekali, pengendalian. Proton menjelaskan bahawa mereka memang memberi input untuk Ride and Handling pada X50, tetapi bukan untuk menjadikannya lebih mantap dan sporti.

Menurut Proton, pengendalian kereta asal Geely Binyue ini sudahpun cukup bagus. Jadi, apa yang Proton lakukan ialah menala semula suspensi dan pengendalian X50 untuk lebih disesuaikan dengan corak pemanduan rakyat Malaysia serta permukaan jalanraya negara ini.

Semasa di ujian slalom dan menukar lorong, penulis dapat rasakan Proton X50 memberi tindak balas yang mantap. Tidaklah setangkas kereta sports, tapi cukup lincah untuk sebuah SUV bersaiz itu, dan kawalan badan juga baik sekali.

Kami tidak sabar untuk menguji Proton X50 ini di jalanraya luar di dunia sebenar. Setakat ini, kami boleh katakan X50 mempunyai pemanduan yang mantap dan sesuai dengan imej Proton yang terkenal dengan Ride and Handling yang cemerlang.

Sama-sama kita nantikan selepas pelancaran Proton X50 nanti. Oh ya, Proton X50 juga telah mencatat tempahan lebih 20,000 unit dalam masa hanya dua minggu tempahan dibuka.

Agaknya berapa lah jumlah tempahannya sekarang kan?

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here