Bugatti kini memperkenalkan Bolide, sebuah hypercar ekstrem yang dicipta khas untuk kegunaan litar sahaja. Hypercar ini juga mempunyai nisbah berat-ke-kuasa hanya sebanyak 0.67kg/hp.
Bugatti Bolide sebenarnya adalah satu kajian eksperimen untuk melihat potensi sebenar sebuah kereta ringan yang dikuasakan oleh enjin W16 8.0-liter syarikat itu.
Atau seperti disimpulkan oleh CEO Bugatti, Stephan Winkelmann, Bugatti Bolide ialah “sebuah kereta yang dilengkapi dengan empat roda, enjin, kotak gear, stereng dan hanya dua tempat duduk.”
Merupakan jentera terbaik dari Bugatti ketika ini, Bolide digabungkan dengan ciri enjin W16 seperti model Chiron, dan satu badan yang ringkas untuk menghasilkan downforce maksimum.
Secara keseluruhan, dengan enjin W16 yang telah dimodifikasi, Bolide mampu menghasilkan sehingga 1,824hp dan 1,850Nm tork.
Berat kering Bolide hanyalah 1,240kg, jadi hypercar ini mampu memberikan satu prestasi setanding dengan jentera Formula 1.
Untuk menjadikan Bolide lebih ringan, Bugatti menggunakan beberapa komponen seperti skru dengan elemen titanium, brek seramik dan kemasan gentian karbon pada casis monocoque dan beberapa komponen lain.
Secara teori, hypercar ini mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 500km/j.
Berdasarkan simulasi, Bolide difahamkan mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 2.17 saat, 0-200km/j dalam masa 4.36 saat, 0-300km/j dalam masa 7.37 saat, 0-400km/j dalam masa 12.08 saat dan 0-500km/j dalam masa 20.16 saat.
Pecutan lateral maksimum pula ialah pada 2.8G. Memang gila!
Bolide juga hanya memerlukan 3.07 minit untuk melengkapkan satu pusingan di litar Le Mans’ Circuit de la Sarthe dan 5.23 minit untuk satu pusingan litar Nürburgring.
Walaupun model Bolide sekadar merupakan suatu eksperimen, Bugatti tetap memastikan penghasilan hypercar ini menepati ciri keselamatan yang telah ditetapkan oleh FIA.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar