Hyundai Sime-Darby Motors (HSDM) telah melancarkan secara rasmi Hyundai Kona hari ini. Ia dibuat secara maya melalui laman rasmi Facebook mereka, serentak dengan pelancaran Sonata serba baharu. Tempahan Hyundai Sonata telah dibuka sejak bulan lepas.
Hyundai Kona baharu ini ditawarkan dalam tiga varian, dan harga seperti berikut:
- 2.0 Standard: RM115,888
- 2.0 Active: RM130,888
- 1.6 Turbo: RM143,888
Harga di atas adalah selepas pengecualian cukai jualan. Harga asal ketiga-tiga varian sebelum penolakan cukai masing-masing adalah RM123,888, RM138,888 dan RM151,888.
Hyundai Kona akan hadir dalam versi CBU (diimport sepenuhnya) dari kilang Hyundai Motor Company (HMC) di Ulsan, Korea Selatan. Ia akan bersaing terus dengan model-model seperti Proton X50, Honda HR-V dan Mazda CX-3.
Kona dibina menggunakan platform kompak terbaharu untuk SUV segmen-B. Nama Kona diambil dari sebuah pulau di Hawaii, dan SUV ini membawakan gaya “urban smart armor” dengan rekaan agresif, rendah dan lebar.
Enjin 2.0-liter pada Standard dan Active mempunyai output 149hp dan 179Nm tork, dan akan dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan.
Sementara itu enjin 1.6-liter pada varian 1.6 Turbo lebih berkuasa dengan 177hp dan 265Nm tork, serta mendapat transmisi automatik dwi-klac 7-kelajuan.
Ciri standard pada Kona termasuklah lampu LED serta DRL LED yang terletak di atas lampu utama, sama seperti Santa Fe terkini.
Pilihan warna untuk Kona adalah Chalk White, Lake Silver, Phantom Black, Pulse Red dan Ceramic Blue. Varian 1.6 Turbo akan mendapat bumbung hitam, menjadikan badannya berwarna dwi-tona.
Untuk rim, varian 2.0 Active dan 1.6 Turbo didatangkan dengan saiz 18-inci, manakala varian 2.0 Standard dengan 17-inci.
Bahagian dalaman Kona direka agar nampak mendatar dan luas, serta memainkan elemen warna terang dan meriah untuk gaya muda.
Kemasan kelabu dan tali pinggang hitam dipadangan dengan warna badan Lake Silver, Phantom Black, Blue Lagoon dan Ceramic Blue.
Kemasan dan tali pinggang merah pula dipadankan dengan warna badan Phantom Black dan Pulse Red, sementara kemasan dalaman dan tali pinggang warna Lime untuk warna badan Chalk White.
Paparan infotainmen ialah unit skrin sesentuh 7-inci yang menyokong sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.
Ciri lain adalah paparan heads-up display (2.0 Active dan 1.6 Turbo) dan wireless charging (1.6 Turbo sahaja).
Untuk keselamatan, dua varian 2.0 Active dan 1.6 Turbo dilengkapi Blind-Spot Collision Warning (BCW) dan Rear Cross-Traffic Collision Warning (RCCW).
Varian tertinggi 1.6 Turbo pula ditambah dengan Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), High Beam Assist (HBA), dan Driver Attention Warning (DAW).
Tempahan dengan menghubungi 1-300-13-2000 atau layari www.hyundai.com.my.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar