Proton X50 yang telah dilancarkan pada 27 Oktober lepas, menerima sambutan yang amat memberangsangkan dari pembeli di Malaysia.
Sebanyak 27,400 tempahan telah diterima setakat akhir bulan lepas dan pada masa yang sama, penghantaran kenderaan sebanyak 447 unit telah selamat dihantar ke pembeli.
Dengan itu, Proton terus meningkatkan momentum jualannya, sekaligus memulakan suku terakhir tahun ini dengan cemerlang, apabila jumlah jualan bertambah untuk bulan kelima berturut-turut.
Dengan jualan 11,392 unit (pasaran tempatan dan eksport), jumlah keseluruhan bulan Oktober telah bertambah sebanyak 20 peratus berbanding dengan bulan yang sama pada 2019, tetapi turun 4.6 peratus berbanding September.
Sebanyak 84,999 unit telah dijual secara keseluruhan bagi tahun 2020, penambahan sebanyak 6.2 peratus berbanding tahun lepas, pegangan pasaran dianggarkan mencapai 21.3 peratus.
Walaupun jualan pada bulan Oktober menurun berbanding dengan bulan lepas, tiga model Proton masih lagi mendahului segmen mereka.
Proton Persona, yang menghadapi sebilangan pesaing baru pada tahun 2020, tetap mendahului pasaran sedan segmen-B dengan 2,360 unit manakala Proton X70 pula telah mencapai 2,216 unit untuk kekal sebagai SUV terlaris di Malaysia.
Proton Exora juga kekal di hadapan pasaran MPV segmen-C, membuktikan pasaran untuk kenderaan besar yang mempunyai tujuh tempat duduk masih wujud walaupun jualan SUV semakin menambah.
“Penambahan kadar pelancaran model baru dan jumlah jualan bulan Oktober adalah antara tanda pemulihan pasaran automotif Malaysia,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton EDAR.
“Proton amat bersyukur kerana jualan bulanan bertambah berbanding dengan tahun lepas dan penambahan pula amat stabil, tetapi kami yakin boleh mencapai pretasi yang lebih tinggi.
“Kajian terhadap prestasi jualan secara terperinci menunjukkan jualan telah menurun secara mendadak di Malaysia Timur manakala di Wilayah Tengah pula tiada penambahan berbanding dengan bulan September.
“Ini dipercayai disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang telah mengurangkan pergerakan penduduk dan memberi kesan kepada jualan, tetapi mungkin juga kerana pelanggan menanti-nantikan pelancaran Proton X50, model Proton terbaru.”
Berikut adalah pencapaian jualan model-model Proton untuk Oktober 2020:
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar