Sebagai sebagahian dari koleksi yang dinamakan Fluo Capsule, Lamborghini kini memperkenalkan 5 warna luaran baharu untuk model Huracan Evo.
Supercar dengan enjin V10 tersebut kini disediakan dengan lima warna matte yang sangat menarik iaitu Verde Shock (hijau), Arancio Livrea (oren), Celeste Fedra (biru), Arancio Dac (oren) dan Giallo Clarus (kuning).
Bersama dengan lima warna baru ini, Huracan Evo juga disertakan dengan kemasan warna hitam matte pada bahagian bumbung, bampar hadapan dan skirt sisi, sementara ruangan dalam disertakan dengan warna yang sepadan dan pilihan trim.
Ruangan dalam juga disertakan dengan tempat duduk selesa yang standard, dan pilihan tempat duduk balutan Alcantara atau kulit dengan trim Evo Sportivo.
Penutup butang Start & Stop dan jahitan sulam Lamborghini pada tempat sandar kepala juga disertakan dengan warna yang sepadan dari lima warna baru yang ditawarkan.
Menurut Lamborghini, kombinasi warna yang ditawarkan akan menghasilkan interaksi kontras yang sangat teknikal, dan akan membuka ekspresi seseorang untuk menjadi lain dari yang lain.
Tawaran warna baru ini hanya boleh didapati pada Lamborghini Huracan Evo 2021. Model ini disediakan dalam dua pilihan iaitu dalam bentuk coupe dan Spyder.
Huracan Evo dikuasakan oleh enjin V10 5.2-liter naturally-aspirated yang mampu menghasilkan sehingga 602hp dan 560Nm tork untuk model pacuan roda belakang (RWD), dan 631hp dan 600Nm tork untuk model pacuan semua roda (AWD).
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar