JPJ Terengganu difahamkan memperoleh hasil lelongan kenderaan sita berjumlah RM369,100. Sebanyak 47 kenderaan berjaya dijual, termasuk 16 kereta, 28 motosikal, dua van dan sebuah lori kecil dilelong dalam tempoh tiga jam.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan, apabila 100 buku lelongan habis dijual dalam tempoh tiga jam sahaja dan pihak JPJ terpaksa menambah cetakan 100 lagi buku lelongan bagi memenuhi permintaan pembida.
Bidaan paling tinggi adalah kereta Subaru Impreza bernilai RM47,000 manakala bidaan terendah ialah motosikal Modenas Kriss dengan harga RM50.
Namun, seorang pembida terpaksa pulang dengan perasaan hampa setelah dipercayai ditipu orang tengah.
Pembida terbabit mengakui membeli buku lelongan daripada seorang individu dengan harga RM200 senaskhah, sedangkan harga senaskhah buku lelongan itu hanya RM70.
Menurut Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin, pembida tersebut kemudian cuba membuat rayuan, tetapi permohonannya tidak dapat dipertimbangkan kerana semakan dilakukan melalui sistem mendapati dia tidak berdaftar secara sah untuk menyertai lelongan kenderaan sita.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar