Nissan telah mendedahkan Navara facelift untuk 2021. Trak pikap generasi ketiga itu menerima pembaharuan dari segi rupa, teknologi dan ciri keselamatan.
Jika dilihat dari rupa luarannya, Navara 2021 ini mempunyai banyak persamaan dengan Titan, iaitu trak pikap saiz-penuh untuk pasaran Amerika Utara. Antaranya adalah gril dengan tiga-jaring ayng dikelilingi oleh bingkai krom.
Lampu depannya ialah unit baharu, dengan rekaan kiub dan projektor LED quad dan DRL berbentuk C.
Pemijak sisi direka semula untuk memberikan aerodinamik lebih baik,menjimatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan bunyi angin. Di belakang, Navara 2021 mendapat lampu LED baharu berbentuk C dan pintu kargo dengan tulisan NAVARA.
Nissan turut memperkenalkan varian Pro-4X yang mendapat aksesori seperti fender lebih besar, dan bahagian-bahagian berwarna hitam seperti logo, gril, pemegang pintu, cermin sisi, rel bumbung dan pemijak tepi.
Rim untuk Pro-4X ini walaubagaimanapun lebih kecil, 17-inci, tetapi ia berwarna hitam dan dibaluti tayar all-terrain. Nampak ganas. Boleh lawan Ranger Raptor?
Kabin Nissan Navara 2021 secara umum masih sama dengan model sebelum ini. Tetapi ia mendapat beberapa pembaharuan seperti kluster instrumen lebih besar, dan sistem infotainmen yang kini dilengkapi Apple CarPlay.
Tahap keselesaan juga ditingkatkan dengan penggunaan cermin depan dan tepi akustik yang boleh mengurangkan bunyi.
Tiada sebarang maklumat diberikan pada bahagian enjin dan transmisi, jadi kami rasa ia mengekalkan kombinasi sedia ada. Ia akan menggunakan enjin 2.3-liter twin-turbo diesel yang menjana 188hp dan 450Nm tork.
Untuk pasaran ASEAN, juga belum dapat dipastikan sama ada kita akan mendapat enjin baharu itu atau masih enjin 2.5-liter turbo sebelum ini.
Transmisi pula adalah dengan pilihan manual 6-kelajuan atau automatik 7-kelajuan, serta pacuan 2WD atau 4WD.
Dari segi keselamatan, Navara akan dilengkapi dengan beberapa ciri aktif yang lebih moden. Ini termasuklah Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning, Blind Spot Monitoring dan Driver Attention Alert.
Ini ditambah dengan kamera 360-darjah serta Moving Object Detection dan Off-road Mode.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar