Lexus LC500 Convertible kini di Malaysia, RM1.35 juta sahaja

2347

Lexus LC 500 Convertible secara rasmi diperkenalkan oleh Lexus Malaysia, dan model ini menjadi penanda kepada era baru bagi kenderaan prestasi dengan binaan bumbung boleh dibuka untuk pasaran tempatan.

Dari segi penampilan, rekaan pada LC500 Convertible diinspirasikan dari kereta konsep LF-FC, seperti contoh lampu projektor LED tiga tahap, rekaan grill hadapan Spindle, serta lampu kombinasi LED belakang dan lampu brek ketiga yang disepadukan pada hujung penutup ruang barangan.



LC500 Convertible menggunakan rim 21-inci yang diperkukuhkan dengan kemasan dua-tona berkilat serta salutan hitam. 

Mekanisma lipatan bumbung yang disertakan dengan kuasa hidraulik pada model baharu ini juga membolehkannya diturunkan dalam masa 15 saat, manakala dinaikkan semula dalam masa 16 saat di bawah kelajuan 50 km/j.

Bumbung tersebut dihasilkan daripada empat lapisan bahan (tiga lapis fabrik + bahan NVH) dan disertakan penutup khas untuk melindungi ruang simpanan bumbung setelah dilipat.

Lebih menarik, dengan struktur dan mekanisme bumbung yang ringan, ia turut menyumbang kepada aspek dinamik kereta serta mampu menghindari bunyi dan angin daripada menembusi ruang barang mahupun kabin.

Model baharu ini hanya melibatkan tambahan berat sebanyak 90kg berbanding versi coupe-nya, sementara ruang barangan yang tersedia berkapasiti 149 liter.

Model ini menampilkan tempat duduk sport balutan kulit semi-aniline yang lengkap dengan liang dan pemanas; kerusi pemandu juga datang dengan larasan elektrik lapan-arah dengan fungsi memori.

Direka untuk keselesaan dan praktikaliti, kereta ini menampilkan stereng tiga-jejari balutan kulit bersama tombol penukaran gear dengan rekaan Takumi.

LC500 Convertible juga datang dengan skrin multimedia resolusi tinggi 10.3-inci dengan paparan terpisah, yang menyediakan capaian segera kepada audio atau kawalan pendingin hawa atau pelbagai sistem lain.

Sistem ini yang turut disepadukan bersama Apple CarPlay dan Android Auto membolehkan
pengguna memaparkan apa yang ada pada telefon mereka ke skrin utama.

Selain itu, di hadapan pemandu tersedia paparan lapan-inci Digital Combination Meter serta Heads-Up Display. Interface sentuhan jarak jauh juga ada tersedia di konsol tengah. 

Bagi penggemar audio, LC500 Convertible dimuatkan dengan 13 pembesar suara Mark Levinson Reference Surround Sound System. Dalam berinspirasikan Omotenashi Lexus, sistem ini akan melaraskan secara automatik aspek akustiknya berdasarkan bunyi persekitaran.

Tidak kira ketika bumbung dibuka atau ditutup, pengalaman kualiti bunyi yang hebat sentiasa akan dapat dinikmati pemandu dan penumpang.

Lexus LC500 dikuasakan oleh enjin V8 5.0-liter yang digandingkan bersama transmisi automatik Direct-Shift 10-kelajuan. Enjin yang sama dengan LC500 Coupe ini mampu menghasilkan 470hp dan 540Nm tork.

Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 4.9 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 270km/j.

LC500 Convertible turut didatangkan dengan ciri keselamatan termaju Lexus Safety System+ (LSS+) seperti Pre-Collision System, Lane Departure Alert dengan Lane Keep Assist, Dynamic Radar Cruise Control, Auto High Beam dan Blind Spot Monitor.

Sebagai sebuah kereta dengan bumbung boleh buka, model ini datang dengan ciri keselamatan khusus iaitu palang olengan aktif yang direka untuk dilanjutkan ke atas sekiranya kenderaan dikesan akan terbalik, sebagai satu langkah sokongan.

Akan tetapi, sekiranya berada di dalam situasi yang tidak memerlukan, ia akan disorok dengan kemas daripada pandangan.

Harga jualan untuk Lexus LC 500 Convertible ini bermula dari RM1.35 juta (atas jalan tanpa insurans) serta lengkap dengan jaminan dan servis percuma selama lima tahun atau jarak perbatuan 100,000 km yang mana terdahulu.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here