Porsche Taycan cipta Guinness World Records untuk drift kereta elektrik paling lama

2548

Porsche telah mencapai rekod dunia untuk drift terpanjang dengan kereta elektrik dengan model Taycan versi pacuan roda-belakang.

Rekod dunia itu telah dibuat di Porsche Experience Centre (PEC) Hockenheimring di Jerman, dipandu oleh jurulatih Porsche, Dennis Retera.



Beliau telah menyempurnakan 210 pusingan di bulatan drift 200 meter tanpa tayar depan menghala ke arah pusingan bulatan walau sesaat pun. Selepas 55 minit, pakar drift itu mencatat jarak 42.171km dengan kelajuan purata 46km/j.

“Apabila sistem kestabilan kenderaan dipadamkan, powerslide dengan Porsche elektrik ini sangat mudah, lebih-lebih lagi dengan model pacuan roda-belakang ini,” kata Retera.

“Kuasa mencukupi sentiasa ada. Pusat graviti yang rendah dan jarak roda panjang menjamin kestabilan.

“Rekaan tepat casis dan stereng membolehkan kawalan sempurna pada setiap masa, walaupun sedang drift,” katanya.

Pemandu warga Belanda itu merupakan ketua jurulatih di Porsche Experience Centre Hockenheimring, yang sebelum ini bersaing dalam go-kart, jentera satu tempat duduk dan perlumbaan-perlumbaan ketahanan.

“Walaubagaimanapun, memang memenatkan untuk saya memberikan tumpuan selama 210 pusingan, tambahan lagi permukaan tar tidak mempunyai tahap cengkaman sama di semua tempat.”

Cubaan rekod dunia itu dibuat di bawah pemantauan juri rasmi Guinness World Record, Joanne Brent yang berpengalaman selama 5 tahun.

“Kami telah melihat pelbagai rekod drift, tetapi dengan kereta sports elektrik, ianya suatu yang sangat istimewa untuk kami juga. Porsche sememangnya telah menjadi peneraju,” kata Brent.

Pakar-pakar dari Guinness merekodkan dengan terperinci menggunakan pelbagai bantuan teknikal. Sebelum ujian itu, seorang pakar mengukur diameter kawasan dengan tepat.

GPS dan pengesan-pengesan turut dipasang pada kenderaan untuk tujuan dokumentasi, dan kamera dipasang di atas bumbung menara kawalan litar itu.

Porsche Taycan sebelum ini telah mencipta beberapa rekod, antaranya ujian ketahanan 24 jam, catatan masa di litar Nurburgring, dan pecutan 200km/j tanpa henti sebanyak 26 kali.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here