Bugatti kini memperkenalkan model Chiron Sport dengan edisi khas yang dikenali sebagai ‘Les Legendes du Ciel’ (Legends of the Sky/Heaven). Model terbaru ini difahamkan diinspirasikan dari pesawat pejuang klasik Perancis.
Chiron Sport dengan edisi ‘Les Legendes du Ciel’ ini dihasilkan dalam unit yang terhad, iaitu hanya 20 unit. Setiap unit berharga USD3.4 juta (RM13.8 juta) tidak termasuk cukai.
Hypercar ini disertakan dengan sentuhan eksklusif pada bahagian luaran dan dalaman, dan dikatakan akan memasuki produksi menjelang akhir tahun ini. Penghantaran untuk model ini pula difahamkan akan dibuat pada awal tahun 2021.
“Banyak juruterbang Bugatti yang berjaya, antaranya ialah Albert Divo, Robert Benoist dan Bartolomeo ‘Meo’ Costantini, yang menjadi juruterbang untuk Tentera Udara Perancis.
“Oleh itu, menjadi kewajipan bagi kita hari ini untuk memberi penghormatan dengan mendedikasikan sebuah kereta edisi khas untuk mereka,“ Kata Presiden Bugatti, Stephan Winkelmann.
Chiron Sport ‘Les Legendes Du Ciel’ disertakan dengan warna Gris Serpent, dimana warna ini diinspirasikan dari warna pesawat pada tahun 1920-an.
Satu garisan putih pada bahagian tengan badan juga turut disertakan, bersama dengan kemasan bendera Perancis pada bahagian hadapan skirt sisi, serta logo khas pada bahagian fender.
Untuk ruangan dalam, hampir kesemua komponen disertakan dengan kemasan kulit Gaucho, yang menggambarkan kemasan kulit yang disertakan pada pesawat era 1900-an.
Kemasan kapal terbang klasik turut disertakan pada tempat duduk, bersama dengan lukisan tangan pesawat Bugatti Type 13 dan pesawat Nieuport 17, yang dibina dari tahun 1916 pada bahagian panel pintu.
Selain nombor siri pada bahagian konsol tengah, Chiron Sport edisi ‘Les Legendes Du Ciel’ menyediakan tempat duduk yang selesa dan bumbung kaca sebagai pilihan.
Dikuasakan oleh enjin W16 8.0-liter quad-turbo yang mampu menghasilkan sehingga 1,479hp dan 1,600 Nm, hypercar ini mampu mencapai kelajuan maksimum pada 420km/j.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar