Kembara motosikal terpanjang di dunia – 10 tahun dan 735,000km!

4267

Ramai pengembara motosikal membuat kembara menarik tetapi pernahkah anda terfikir tentang rekod kembara terpanjang?

Rekod dunia untuk pengembaraan motosikal terpanjang adalah dari penunggang warga Argentina, Emilio Scotto. Dia meninggalkan rumah pada 17 Januari 1985 dan kembali pada 2 April 1995. Ya, pengembaraan ini mengambil masa 10 tahun!



Scotto berhenti dari pekerjaanya di Buenos Aires sebagai wakil jualan syarikat farmaseutikal untuk mengembara menggunakan Honda 1980 GL1100 Goldwing Interstate miliknya. Motosikal itu berusia 5 tahun pada masa itu.

Selama 10 tahun perjalanan, beliau menempuh jarak sejauh 735,000km dan mengunjungi 214 negara. Scotto juga telah menggunakan kira-kira 47,000 liter petrol, 1,300 liter minyak enjin, 86 tayar, 12 bateri dan 9 tempat duduk.

Dan selama tempoh itu juga, hanya sekali sahaja beliau menukar enjin. Boleh tahan!

Pengembaraan Scotto pastinya mencabar. Ini termasuklah melalui Nicaragua pada 1985 semasa Perang Sivil, serta Kuwait pada 1991 sebelum peperangan dengan Iraq.

Menurut Scotto, detik paling mencabar baginya dalam pengembaraan adalah semasa di benua Afrika iaitu di Chad, Burundi dan Cameroon kerana disangka seorang pengintip musuh.

Dia juga pernah dipenjara kerana disyaki membawa passport palsu di Zimbabwe. Semasa di Liberia pula, Scotto memasuki negara itu dalam tempoh peperangan dan terpaksa bersembunyi di kawasan diplomatik selama beberapa hari sebelum dapat keluar dengan selamat.

Dia juga tidak dapat membawa masuk motosikalnya ke Korea Utara dan dia dapat berjalan kaki di zon demokratik yang memisahkan negara itu dengan Korea Selatan.

Sementara itu, Scotto pernah hampir dilarang memasuki sempadan China dan pegawai di situ memintanya untuk membayar USD70,000 (RM286k). Mujurlah ada ahli Motorcycle Club dari Beijing yang melepaskannya dari isu itu dan Scotto dapat masuk ke China tanpa sebarang bayaran.

Scotto tidak pernah mengumumkan pengembaraannya semasa mula bertolak. Iya lah, pada masa itu belum ada internet, Instagram, Facebook dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, berita tentang kembara Scotto ini mula tersebar semasa beliau dalam perjalanan.

Pada akhir 1986, beliau mendapat liputan semasa terperangkap di New York, dan berita televisyen melaporkan Scotto memerlukan dana untuk membantunya menyeberangi lautan.

Dalam pengembaraan itu juga, Scotto sempat berjumpa dengan beberapa tokoh besar dunia antaranya Pope John Paul II, Kol. Muammar al-Gaddafi, serta mendapat tajaan dari Pepsi, Agip dan Metzeler.

Sumber: Facebook dan Wikipedia

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here