Kerajaan negeri Kedah menafikan dakwaan membeli 23 kenderaan baharu bagi kegunaan EXCO, sebaliknya ia untuk pelbagai jabatan kerajaan negeri.
Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, peruntukan pembelian kenderaan itu diluluskan dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Besar sebelum ini.
Katanya, pembelian 12 kereta jenis Honda Accord dan 11 Toyota Hilux adalah bagi menggantikan kenderaan jabatan yang kebanyakan berusia lebih 10 tahun dan ada yang dibeli pada 2004.
“Ia sudah tidak ekonomi untuk dibaiki kerana kos membaik pulihnya melebihi harga kenderaan itu dan tidak lagi sesuai digunakan untuk perjalanan jauh, jadi ia perlu dilupuskan.
“Ada juga kenderaan dibeli oleh ketua jabatan selepas pencen, jadi kenderaan itu perlu diganti selain kita beli pacuan empat roda untuk kegunaan operasi jabatan seperti Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIK),“ katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas video dan gambar tular dakwaan pembelian kenderaan baharu untuk kegunaan EXCO Kedah.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata urusan pembelian kenderaan baharu jabatan oleh Pegawai Kewangan negeri bermula sejak awal tahun namun tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tambahnya, secara kebetulannya, pembelian 23 kereta baharu dilakukan pada bulan ini ketika beliau menjadi Menteri Besar Kedah, sekali gus menyebabkan namanya menjadi sebutan.
“Pembelian kenderaan ini adalah secara pukal oleh Pegawai Kewangan Kedah dengan harga lebih rendah, pembekal turut menawarkan pakej lepas jualan lebih baik iaitu penyelenggaraan percuma selama lima tahun yang mana harga dirahsiakan namun lebih rendah daripada harga semasa.
“Jadi ia untuk kereta jabatan bukannya EXCO, jadi apa yang tular adalah fitnah semata-mata dan tanggunglah dosa,“ katanya.
Muhammad Sanusi berkata, kesemua 23 kereta baharu sudah diserahkan kepada jabatan yang berkaitan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar