Kegiatan tujuh lelaki yang dikenali sebagai ahli Geng Emas Putih yang aktif mencuri tabung ekzos (catalytic converter) kenderaan terbongkar apabila mereka ditahan dalam beberapa serbuan baru-baru ini.
Untuk makluman, tabung ekzos kenderaan menjadi sasaran sekumpulan penjenayah untuk mengaut keuntungan selepas dikatakan mampu menghasilkan emas putih apabila dilebur.
Mereka dikatakan menyasarkan kenderaan berkuasa tinggi kerana ekzosnya yang padu serta mempunyai kandungan serbuk emas putih lebih tinggi.
Menurut Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shahrul Lalli Masduki, tangkapan ke atas lelaki berusia 19 hingga 42 tahun itu dilakukan dalam serbuan berasingan di sekitar daerah Melaka Tengah sejak 18 hingga 25 November lalu.
Katanya, seorang pembeli bahan berkenaan turut ditahan dalam operasi itu.
“Hasil risikan serta siasatan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri berjaya menemui 65 tabung ekzos yang dicuri.
“Berdasarkan laporan polis diterima, sebanyak 30 daripada jumlah itu dikesan dicuri sekitar negeri ini manakala selebihnya masih dalam siasatan,“ katanya.
Tambah Shahrul Lalli, suspek akan menjual hasil curi itu sebelum dijual kepada orang ketiga untuk dileburkan bagi mendapatkan emas putih.
“Siasatan mendapati tabung ekzos yang dicuri akan diproses untuk menghasilkan emas putih dan proses ini dipercayai dilakukan di luar negara,“ katanya.
Lanjut beliau, modus operandi kumpulan itu dengan menyasarkan kenderaan berkuasa tinggi yang diparkir di luar kawasan berpagar kediaman atau premis.
Katanya, tabung ekzos yang dicuri itu dijual dengan harga mencecah ribuan ringgit mengikut jenis kenderaan.
“Kita juga sedang menyiasat dalang di sebalik kegiatan ini dan siasatan juga sedang dibuat sama ada sindiket ini mempunyai kaitan dengan kes yang sama berlaku di Gombak, Selangor atau sebaliknya,“ katanya.
Suspek direman sehingga esok dan kes disiasat Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar