Menjelang akhir tahun 2020, jualan kenderaan Proton semakin meningkat menuju ke penamat akhir tahun yang kukuh.
Sebanyak 11,411 unit (dalam negeri dan eksport) dijual dalam bulan November, penambahan sebanyak 18 peratus berbanding dengan bulan sama tahun lepas. Ini menyumbang ke jumlah jualan sebanyak 96,410 unit pada 2020.
Jumlah itu bersamaan penambahan sebanyak 7.5 peratus berbanding tahun lepas dan pegangan pasaran dianggar sebanyak 20.1 peratus.
Walaupun jualan bagi model Proton lain menurun sedikit berbanding dengan bulan Oktober, penghantaran Proton X50 kepada pembeli telah meningkat.
Sebanyak 1,756 unit telah dihantar, sekaligus menempatkannya sebagai model terlaris SUV segmen-B (lima tempat duduk) di Malaysia.
Dengan jumlah jualan 2,157 unit Proton X70 dalam bulan yang sama, Proton telah menyandang tempat pertama SUV terlaris secara keseluruhan.
“Jualan kenderaan di Malaysian melebihi jangkaan yang dibuat pada awal tahun ini dan anggaran kami adalah Kadar Keseluruhan Industri (TIV) melebihi 56,000 unit bagi tiga bulan berturut-turut. Tawaran akhir tahun biasanya diberi oleh jenama kenderaan adalah antara sebab fenomena ini, tambahan juga insentif PENJANA dan pelancaran model baru seperti Proton X50 telah meningkatkan jumlah jualan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
“Bagi Proton, tumpuan kami tetap pada kualiti produk dan khidmat pelanggan supaya kami boleh menghasilkan produk dan pengalaman pelanggan yang unggul.
“Kami akui, kadar penghantaran Proton X50 masih belum sampai tahap maksima, tetapi kami sentiasa berjaga-jaga untuk memastikan pelanggan menerima produk terbaik yang memenuhi harapan mereka.
“Namun demikian, jumlah kenderaan yang dihasilkan akan meningkat tiap-tiap bulan untuk mengurangkan tempoh menunggu pada masa kini, kami berharap para pelanggan boleh bersabar,” tambahnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar