Penunggang/pelumba motosikal menyertai perlumbaan empat-roda bukanlah perkara baharu, ia pernah dibuat oleh nama-nama seperti John Surtees dan Valentino Rossi.
Terbaharu, penunggang pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli berbuat demikian dengan menyertai saingan ACI Rally Monza. Menurut laporan motorsports.com, dia memandu untuk pasukan Hyundai Rally Team Italia (HRTI).
Dengan memandu jentera Hyundai i20 R5, Morbidelli menerima jemputan dengan penaja WITHU untuk berentap dalam kelas WRC3.
Slot perlumbaan ialah di bawah program ‘Riders Meet Rally’ yang mengumpulkan penunggang-penunggang motosikal lumba dalam acara rali dengan jentera berspesifikasi lumba sepenuhnya semasa acara WRC.
Morbidelli yang berada di tempat kedua dalam kejuaraan MotoGP telah berentap pada hujung minggu lepas (3 hingga 6 Disember).
“Saya teruja dengan peluang yang diberikan untuk berentap dalam acara World Rally Championship sebenar,” katanya sebelum perlumbaan bermula.
“Ini pastinya menyeronokkan, saya perlu cepat belajar banyak perkara dan ia tak akan begitu mudah untuk menyesuaikan diri dari dua-roda dalam masa yang singkat,” sambung Morbidelli.
Mentor Morbidelli iaitu Rossi juga pernah menyertai Rally Monza sebelum ini, malah pernah memenanginya tujuh kali.
Walaubagaimanapun, kalendar WRC tahun ini berakhir di Monza disebabkan pandemik yang memendekkan jadual perlumbaan seluruh dunia.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar