Pejam celik, sudah lebih 10 tahun sejak Subaru mula digunakan dalam video Gymkhana pertama. Video kedua pada 2009 pula menampilkan Ken Block memandu Impreza WRX STi yang lebih memfokus kepada gaya rali.
Kini untuk edisi terbaharu, Gymkhana menampilkan sebuah Subie yang jauh lebih berkuasa dan ganas, dengan 862hp. Edisi ke-11 ini dinamakan Gymkhana 2020 dan kali ini pemandunya ialah Travis Pastrana, sangat sesuai dengan karakter jentera ini.
Penggambaran Gymkhana 2020 dibuat di kampung halaman Pastrana di Annapolis, Maryland. Dan untuk menjelaskan bahawa memang pemandu lain kali ini, babaknya dimulakan dengan melompat menyeberangi bot lumba di terusan air yang agak lebar dan luas.
Dan aksi melompat terbang tidak berakhir di situ. Sebelum kita berbincang lebih lanjut, perhatikan pula aksi railslide. Secara teknikal ia bukanlah railslide biasa kerana tiada rel, tetapi sesetengah pihak berpendapat ianya tidak disengajakan.
Bahagian bawah Impreza itu bergesel dengan bucu, dan Pastrana menggelungsur dengan satu tayar tergantung dari dok pelabuhan sambil tiga lagi tayar berusaha mengembalikan kereta dari terjatuh ke dalam laut.
Kemudian seperti Gymkhana sebelum ini, aksi diteruskan di jalan-jalan sempit dalam bandar, dengan berpuluh-puluh drift dan donut dilakukan. Terdapat juga Subaru BRZ serba baharu melakukan tandem drift bersama Impreza itu.
Aksi di udara seterusnya menyaksikan Pastrana memecut di landasan kapal terbang dan membuat lompatan sambil berpusing 360-darjah di tengah-tengah landasan berdepan dengan sebuah pesawat lumba Red Bull.
Semasa Impreza Pastrana melompat, pesawat Red Bull yang sedang memecut itu ‘mengelak’ dengan mendongak tajam ke udara.
Seterusnya aksi dibawa ke jalan pinggir bandar dimana Pastrana memecut Impreza itu di jalanraya dua lorong dengan kelajuan melebihi 144 batu sejam (231km/j). Ya, apabila meter digital menunjukkan 100, ia sebenarnya 100 batu sejam, kira-kira 160 km/j.
Lokasi akhir ialah di Pastranaland dimana dia bertemu dengan sekumpulan peluncur papan (skateboarder), penunggang motocross dan seorang kanak-kanak 9-tahun yang melalukan double backflip menggunakan BMX.
Ternyata aksi-aksi Pastrana mempunyai keunikan tersendiri berbanding Ken Block. Apa pun, kedua-dua pemandu mempunyai kelebihan masing-masing.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar