Petronas Yamaha SRT nafi pinggir bakat pelumba tempatan

1384

Dakwaan segelintir pihak bahawa pengurusan pasukan meminggirkan bakat pelumba tempatan dinafikan oleh Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT).

Mengambil contoh pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi, prinsipal pasukan Datuk Razlan Razali berkata banyak peluang diberikan kepada pelumba berusia 22 tahun itu, namun dia gagal menghasilkan keputusan positif sepanjang dua musim bersama pasukan berkenaan sejak musim lepas.



“Saya sedar dan tahu ramai netizen kecam keputusan saya (tidak menyambung kontrak) Khairul Idham Pawi. Kita turunkan dia ke Moto3 (dari Moto2) sebab kecederaan dialami semasa Moto2 supaya boleh buat yang terbaik, kata Razlan.

“Pada awalnya kita sasar kedudukan 15 terbaik atau cuba kutip mata pada setiap perlumbaan, tapi dia cedera, dan apabila dia sembuh kita beri dia masa untuk raih keputusan positif dan melakukan yang terbaik pada perlumbaan berikutnya. Kita suruh dapatkan sekurang-kurangnya kedudukan 20 terbaik, tapi tidak capai sasaran, tambahnya.

Petronas Yamaha Sepang Racing Team

Dalam pada itu, Razlan berkata pengurusan pasukan berkenaan tidak berhasrat menggunakan khidmat pelumba tempatan bagi saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Beliau menegaskan pasukan itu hanya akan kembali membuka peluang kepada pelumba tempatan sekiranya mereka mencapai prestasi cemerlang dalam beberapa perlumbaan termasuk Kejuaraan FIM CEV Eropah yang merupakan landasan kepada pasukan MotoGP mendapatkan pelumba terbaik bagi pasukan masing-masing.

“Kita ada pelapis yang sedang dibangunkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), tapi mereka belum bersedia untuk tahun depan. Kita tidak mahu sekadar letak pelumba Malaysia, selepas itu jadi macam Khairul Idham. Netizen suruh letak pelumba Malaysia, bila dia gagal, kita pula kena kecam, katanya.

SuperKIP bersara

Baru-baru ini, Khairul Idham Pawi yang lebih mesra dengan panggilan SuperKIP membuat keputusan mengejutkan apabila mengumumkan persaraan daripada sukan permotoran.

Beliau gagal meraih sebarang mata dalam 13 perlumbaan Moto3 yang disertai pada musim ini bersama pasukan Petronas Sprinta Racing di bawah pengurusan Petronas Yamaha Sepang Racing Team.

Pelumba itu pernah melakar sejarah pada 2016 bersama Honda Team Asia apabila meraih dua kemenangan menakjubkan di trek basah dalam saingan GP Argentina dan Jerman, ketika berusia 18 tahun, sekali gus membolehkan beliau dinaikkan ke kelas Moto2 pada 2017.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here