Juara Formula 1 tujuh kali, Lewis Hamilton telah banyak membantu dalam membangunkan teknologi Mercedes-AMG One sejak kebelakangan ini. Hypercar ini difahamkan akan diperkenalkan pada tahun hadapan.
Buat masa sekarang, Hamilton sudah terlibat dalam kempen pemasaran hypercar ini yang dibuat oleh Mercedes-AMG setelah tamat pusingan terakhir Formula 1 iaitu Grand Prix Abu Dhabi.
Berdasarkan video dari saluran Youtube rasmi Mercedes-AMG, video dengan kapsyen ‘After Work with Lewis Hamilton’ memaparkan pelumba berusia 35 tahun tersebut masuk ke dalam Mercedes-AMG One dan memandunya di litar.
Hypercar ini disertakan dengan kemasang loreng khas yang menggabungkan beberapa warna termasuk merah. Menurut pengerusi AMG, Philipp Schiemer, warna merah akan memainkan peranan penting dalam label teknologi baharu mereka iaitu E Performance.
“Saya masih sukar untuk percaya bahawa akan ada hypercar dengan enjin dari jentera Formula 1,“ kata Lewis Hamilton.
“Kami memenangi kejuaraan dunia pada tahun 2015 dengan menggunakan enjin ini dan saya sudah terlibat dalam proses pembangunannya sejak sekian lama. Saya sangat bangga dengan usaha luar biasa yang dilakukan oleh Mercedes-AMG untu projek ini. Kereta ini memang benar-benar unik,“ tambahnya.
Mercedes-AMG One dikuasakan oleh enjin petrol V6 1.6-liter dan motor elektrik yang mampu menghasilkan sehingga 992hp. Dengan output sedemikian, hypercar ini mampu mencapai kelajuan maksimum pada 350km/j.
Enjin V6 ini bagaimanapun tidak akan dibenarkan ‘ditekan’ sehingga 11,000 rpm seperti jentera Formula 1, disebabkan kekurangan bahan api dengan RON tinggi di kebanyakan stesen minyak, serta bertujuan untuk menjaga ketahanan enjin.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar